Berita

Azizah tokoh kesepaduan Pakatan, mampu mentadbir secara berpasukan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS – “Sekiranya Wan Azizah dipersalahkan sebagai satu kes nepotisme, maka saya rasa kesemua tiga parti komponen Pakatan Rakyat boleh tutup kedai.”

Demikian ulasan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam temubual eksklusif bersama Roketkini mengenai kedudukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon yang dipersetujui Pakatan Rakyat bagi mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.

“Apabila berdepan tugas menjatuhkan sebuah rejim gergasi yang sudah lama berkuasa, selalunya seluruh keluarga akan terjebak sama,” katanya sambil memberi contoh penglibatan politik anak-anak pimpinan kanan Pakatan dalam PAS dan juga DAP.

Namun apa yang lebih penting kata Rafizi ialah apa yang boleh ditawarkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Menurut Rafizi, Selangor memerlukan seorang menteri besar yang mampu mentadbir secara berpasukan dan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Calon Menteri Besar mesti diterima semua pihak dalam Pakatan sebagai simbol dan figur perpaduan. Apa yang kita benar-benar perlukan sekarang ialah kepimpinan berkonsensus dan mampu mengharmonikan semua pihak,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Kata beliau lagi, berikutan perpecahan akibat pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Selangor benar-benar memerlukan pemimpin yang boleh menjanjikan perpaduan.

“Kak Wan boleh menawarkan pentadbiran yang lebih inklusif dan konsultatif,” ujarnya sambil menambah hanya Wan Azizah sahaja yang diterima ketiga-tiga parti Pakatan untuk menjadi calon menteri besar yang baru.

“Kalau pun kita ada calon yang mungkin lebih baik, tetapi jika DAP tidak mahu, atau PAS tidak mahu atau sebahagian PKR tidak setuju, (maka) tidak selesai juga,” tambah beliau lagi.

Menurut Rafizi, banyak pihak memandang rendah potensi Wan Azizah untuk memenangi sokongan pengundi wanita – segmen pengundi yang kurang dipujuk dalam kempen Pakatan menjelang pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

Namun, Wan Azizah akhirnya dicalonkan secara sebulat suara sebagai Menteri Besar Selangor yang baru setelah Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya Ahad lalu bersepakat menolak Khalid Ibrahim atas faktor-faktor integriti dan disiplin parti. – Roketkini.com