Berita

Najib wajar contohi CEO MRT letak jawatan – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Rentetan pelbagai isu melanda negara semenjak kebelakangan, antaranya perhimpunan awam yang menimbulkan rusuhan dan kenyataan berbaur perkauman, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan barisan kabinetnya gagal mengawal sentimen negatif ini lebih-lebih lagi ketika negara menghampiri ulangtahun kemerdekaan ke-57.

Justeru itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menegaskan sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan berikutan kemalangan di tapak pembinaan projek MRT yang meragut nyawa tiga pekerja warga asing semalam.

“Najib gagal menjanjikan keharmonian kaum di saat negara menghampiri ulangtahun kemerdekaan ke-57 beberapa hari sahaja lagi dan beliau langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atau bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut.

“Najib juga kelihatan selamba sahaja bersetuju dengan kenyataan-kenyataan perkauman, termasuk kenyataan ‘balik Tongsan’ oleh orang yang sama yang mengetuai rusuhan di ibu pejabat DAP.

“Sewajarnya Najib dan pentadbirannya mencontohi tindakan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletakkan jawatan,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan.

Pada 18 Ogos, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membuat kenyataan menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib Razak kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir dalam tulisan di blognya menyindir Najib Razak dengan analogi ‘Datuk-datuk’ yang memberikan nasihat salah kepada ‘raja’ hanya kerana ingin menyenangkan hati ketuanya itu

Kata Lip Eng, pujian atas pendekatan Najib menangani tragedi MH17 yang kononnya lebih hebat daripada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Rusia Vladimir Putin oleh bekas pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak boleh menjadi ukuran prestasi Perdana Menteri, apabila beliau ternyata telah gagal dalam banyak hal lain.

“Beliau ternyata telah gagal dalam banyak hal lain. Kejadian-kejadian di tanah air sendiri terus gagal ditangani; termasuk kejadian pencerobohan dan penculikan yang terus berlaku berulang kali di Sabah contohnya,” kata Lip Eng.

Pakatan Rakyat sebelum ini berulang kali mendedahkan salah laku, pembaziran dan kepincangan urustadbir melibatkan pentadbiran Najib Razak setiap kali pembentangan Bajet pada bulan Oktober.

Laporan institusi audit dan kewangan antarabangsa, badan-badan hak asasi dan pemetau kualiti pendidikan dalam laporannya menyatakan bahawa kedudukan Malaysia semakin merudum dania berlaku ketika pentadbiran Najib Razak.

Malah, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mendedahkan perincian perbelanjaan negara yang tidak perlu selain pembaziran oleh semua kementerian sepanjang enam tahun pentadbiran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Justeru kata Lip Eng tindakan meletakkan jawatan sebagai sikap bertanggungjawab atas sesuatu kegagalan yang belum menjadi amalan di negara ini wajar dijadikan tauladan oleh pemimpin politik di negara ini

“Adakah Najib dan anggota kabinetnya akan menjadikan Datuk Azhar sebagai contoh bukan sekadar menerima pujian untuk sesetengah hal, tetapi lari dari tanggungjawab dan kegagalan untuk banyak hal yang lain,” ujarnya – Roketkini.com