Berita

Hari Perkabungan Negara: Bendera DAP dikibar separuh tiang di seluruh negara esok

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Bendera DAP akan dikibarkan separuh tiang di semua pejabat dan Pusat Khidmatnya di seluruh negara secara serentak sempena Hari Perkabungan Negara esok.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, acara tersebut dibuat bagi menzahirkan rasa dukacita parti DAP terhadap tragedi yang menimpa penumpang dan krew pesawat penerbangan Malaysai (MAS) MH17.

Arahan turut dikeluarkan Setiausaha Agung Lim Guan Eng agar ibu pejabat DAP turut bertafakur selama seminit, manakala ahli-ahli parti di seluruh negara diminta melakukan perkara sama di tempat masing-masing.

Delegasi Ahli Parlimen DAP diketuai Ketua Parlimen Lim Kit Siang akan turut menghadiri upacara Hari Perkabungan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) esok bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi Penerbangan Malaysia MH17.

Dalam kejadian nahas pada 17 Julai lalu, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh di Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – Roketkini.com