Berita

Laporan Utusan rujuk risalah palsu fitnah Kit Siang

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan salinan risalah yang menjadi asas kepada artikel fitnah akhbar Mingguan Malaysia terhadap Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak boleh dijadikan bahan bukti perbicaraan.

Ini kerana salinan buku bertajuk ‘Laporan Ekuiti’, yang ditulis individu bernama ‘Father Augustus Chen’ itu tidak dapat disahkan keasliannya.

“Oleh kerana keaslian risalah ini masih dalam pertikaian, ia kekal (diklasifikasikan) sebagai dokumen C (sebagai rujukan),” kata Hakim Datin Yeoh Wee Siam dalam sesi soal jawab di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta pagi tadi.

Katanya lagi, buku itu hanya akan dijadikan bukti selepas keasliannya dapat disahkan.

Artikel bertajuk ‘Kit Siang manipulasi CEC?’ oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 18 Ogos 2013 memetik kandungan buku itu bagi memfitnah tokoh veteran DAP itu menjalankan penipuan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada tahun 2012, kononnya demi menjamin kedudukan beliau dalam parti itu.

Antara tuduhan dilemparkan adalah berhubung sejumlah 753 perwakilan tidak dimaklumkan tentang Kongres DAP, serta kewujudan 547 pengundi hantu dari Pulau Pinang.

Sebelum itu peguam Kit Siang, Gobind Singh Deo berkata hanya penulisnya dapat menentukan salinan yang diberikan kepada mahkamah itu tulen atau sebaliknya.

“Tiada cara untuk kita menentukan sama ada ia adalah asli seperti yang dikeluarkan ‘Father Augustus Chen’. Hanya beliau yang dapat menentukannya,” kata Gobind.

Walhal sehingga kini, kewujudan individu bernama Father Augustus Chen masih tidak dibuktikan walaupun Kit Siang sendiri banyak kali mendesaknya untuk tampil ke hadapan.

Father Augustus Chen tidak wujud

Ketika ditemui wartawan selepas sesi tersebut Gobind menegaskan beliau dan Kit Siang sama sekali tidak mengenali individu bernama ‘Father Augustus Chen’.

“Beliau tidak wujud…(Namun) apabila kita menafikan kenyataan yang dibuat seseorang itu sebagai palsu, kita perlu memanggil individu itu untuk mengesahkan kenyataannya,” katanya.

Pada 27 September lalu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Bhd, ekoran penerbitan artikel tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menyifatkan artikel itu berunsur fitnah dan memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan ekoran fitnah itu.

Ketika disoal peguam Utusan Mohd Izral Khairy, Kit Siang konsisten menegaskan kandungan artikel itu adalah penipuan semata-mata yang bertujuan memburukkannya.

Kit Siang juga menjawab beberapa fitnah ‘Father Augustus Chen’, antaranya tuduhan beliau menggunakan sentimen kaum bagi merampas jawatan Setiausaha Agung DAP daripada Devan Nair pada tahun 1968.

“Pada tahun 1968, saya memegang jawatan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, bukan Setiausaha Agung. Devan pula tidak pernah dijatuhkan, sebaliknya meninggalkan parti untuk kembali ke Singapura selepas khidmatnya sebagai Ahli Parlimen Bangsar tamat,” katanya.

Perbicaraan artikel fitnah akhbar Mingguan Malaysia terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bersambung esok. – Roketkini.com