Berita

Luruskan mata pelajaran sejarah dari manipulasi politik

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendedahkan hasil kajian Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah yang ditubuhkan kerajaan.

Kata Sivakumar, jawatankuasa tersebut yang dianggotai 10 tokoh dan pakar pelbagai bidang berkaitan pendidikan dan sejarah ditubuhkan semenjak 2012 bertujuan memupuk perpaduan kaum, namun sehingga kini tidak ada sebarang cadangan dinyatakan.

Justeru tegas Sivakumar, matapelajaran sejarah tidak akan bernilai sekiranya diubah-ubah mengikut selera dan citarasa penulis dengan memanipulasi fakta hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Niat untuk mewujudkan perpaduan kaum adalah baik dan murni. Tetapi apakah isi kandungan sejarah yang pernah wujud dalam sukatan pelajaran sebelum ini yang perlu disingkirkan?

“Adakah mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah hari ini benar-benar mencerminkan sejarah negara? Apakah perkara baru yang tidak terkandung dalam matapelajaran sejarah sebelum ini yang perlu dimasukkan untuk mencapai tujuan tersebut? kata Sivakumar dalam satu kenyataan.

Tambah Sivakumar matapelajaran sejarah adalah kajian akademik yang perlu dipelajari dalam konteks ketika peristiwa itu berlaku, tanpa mengubah atau menutup apa-apa fakta dan peristiwa dengan niat tertentu.

“Kita harus mengajar anak-anak kita sejarah yang betul daripada sumber yang tepat. Penipuan dalam sejarah akan merugikan sendiri kerana kita akan hilang riwayat asal usul dan kelahiran sebuah negara bangsa,” ujarnya.

Kata Sivakumar menurut jawapan yang diterimanya dari soalan lisan di Dewan Rakyat pada Oktober 2013, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan dua jawatankuasa bagi mengkaji kurikulum sejarah dan buku teks sejarah sekolah menengah.

Dua jawatankuasa tersebut ialah ‘Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah’ dan ‘Panel Pakar Rujukan Kurikulum Sejarah dan Buku Teks’. namun sehingga kini tidak menyatakan sebarang dapatan atau mengusulkan cadangan baru, malah nama panel 10 pakar sejarah dan pendidikan tersebut tidak dinyatakan.

“Rakyat berhak untuk mengetahui siapakah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan untuk menganggotai panel atau Jawatankuasa Khas tersebut. Keanggotaan jawatankuasa tersebut dan perkembangan terkini mengenai hasil kajian itu tidak dijawab oleh Menteri,” ujarnya.

Dalam pada itu menurut Sivakumar sekiranya Jawatankuasa Khas itu wujud, rakyat Malaysia, terutamanya ibu-bapa, tenaga pengajar dan institusi pendidikan berhak mengetahui kandungan cadangan-cadangan yang diusulkan jawatankuasa khas tersebut.

“Lebih penting, sejauh manakah cadangan yang disarankan jawatankuasa khas itu diterima dan diserapkan dalam mata pelajaran Sejarah? Perkara ini tidak perlu diselindungi oleh kerajaan jika tujuanya adalah dengan niat murni,” kata Sivakumar. – Roketkini.com