Berita

P Pinang beri nafas baru ekonomi, angkat industri kreatif dan IKS

gambar Buletin Mutiara

GEORGE TOWN, 22 OGOS: Sejajar dengan misi ke arah ekonomi mapan dan berdaya saing untuk jangka panjang, Pulau Pinang akan memberi nafas baru kepada Taman Perindustrian Bayan Lepas dan Bandar Bayan Baru, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata, usaha itu akan berpusatkan ‘model pembangunan gugusan kreatif’ dengan tujuan antaranya memaksimumkan penggunaan tanah dan daya pengeluaran, menaiktaraf taman perindustrian menjadi kelas antarabangsa serta mewujudkan gugusan kreatif yang menggabungkan 3T – Talent, Technology dan Tolerance .

“Proses memberikan nafas baru ini juga bertujuan untuk menaiktaraf taman perniagaan dan perindustrian untuk memenuhi keperluan kerja dan pelaburan bernilai tinggi.

“Ini sejajar dengan pelancaran hab IT-BPO, satu perjanjian usahasama dengan Temasek Holdings bernilai RM11.3 bilion Mac lalu, untuk kita menaikkan rantaian nilai dan menjadi negeri berpendapatan tinggi dengan menarik industri kreatif yang berpusatkan ilmu pengetahuan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain bakat dan teknologi, katanya lagi, sikap terbuka terhadap idea juga penting untuk mewujudkan gugusan kreatif itu.

Taman Perindustrian Bayan Lepas yang dibuka 40 tahun lalu adalah zon perdagangan bebas cukai pertama di Malaysia. Pada tahun 2005, Bayan Lepas juga diberikan status ‘cybercity’ oleh MSC Malaysia.

Katanya lagi, projek bangunan Innoplex (Innovation Complex) bernilai RM62 juta di sana adalah langkah pertama ke arah matlamat tersebut.

“Projek terbaru yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) ini menempatkan operasi penyelidikan dan pembangunan Motorola Solution. PDC menjangkakan kos pembinaan akan diperoleh kembali dalam masa sepuluh tahun melalui aturan pajakan kemudahan itu,” katanya.

Katanya lagi, Motorola adalah satu-satunya penyewa di situ untuk tempoh sepuluh tahun, dengan kadar RM2.15 untuk sekaki persegi setiap bulan, dengan tambahan 3 peratus setahun.

Industri Kecil dan Sederhana tidak dilupakan

Sebagai galakan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, kerajaan negeri juga membina bangunan khusus untuk membantu pengusaha IKS tempatan yang baru bermula.

“PDC juga akan mewujudkan Pusat IKS, iaitu bangunan seluas 166,000 kaki persegi untuk menempatkan pengusaha IKS tempatan yang baru bermula, dengan kadar sewa yang rendah.

“Kejayaan model pembangunan gugusan kreatif ini akan menjana kemakmuran dan peluang pekerjaan,” katanya lagi. – Roketkini.com