Berita

Pulau Pinang mohon Perak jual air mentah atas semangat Malaysia

GEORGE TOWN, 23 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang membidas tindakan Kerajaan Perak yang berdalih berhubung projek bernilai RM2 bilion pemindahan air mentah ke negeri itu dan mahu menukarnya kepada air terawat.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, tindakan tersebut tidak munasabah apabila Johor dibenarkan menjual air mentah ke Singapura dan membeli air terawat dari republik itu, tapi Perak mengambil langkah sebaliknya dan berkeras untuk menjual air terawat sahaja.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan satu lagi bentuk diskriminasi kerana ia jelas menunjukkan bagaimana rakyat asing dilayan dengan baik tetapi hak rakyat di negara sendiri diketepikan.

“Johor boleh menjual air kepada Singapura, tetapi kita terpaksa membeli air dirawat dari negeri rakan kita sendiri.

“Ini langsung tidak masuk akal dan sama sekali tidak menunjukkan semangat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Komtar, semalam.

Guan Eng menyatakan, beliau telah mengajukan perkara ini kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 26 Jun lalu untuk meminta kementerian bertindak sebagai orang tengah antara kedua-dua negeri, tapi sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

“Kami berharap, dalam isu ini, Kerajaan Persekutuan tidak melayan Pulau Pinang sebagai anak tiri.

“Kami tidak meminta secara percuma tetapi mahu membeli. Jadi saya berharap Perak dapat menerima dan menyedari bahawa orang Pulau Pinang juga adalah rakyat Malaysia.

“Sebagai sebuah negeri dengan bekalan air mentah yang rendah, Pulau Pinang memerlukan sumber tambahan, malangnya Perak hanya mahu menjual air dirawat sahaja,” ujarnya.

Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) merupakan projek penting untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi penduduk Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Pulau Pinang sekarang menerima bekalan air dari Sungai Muda Kedah, yang mengalir dari Hutan Hujan Ulu Muda ke Seberang Prai.

Namun, Guan Eng menyatakan, berdasarkan ‘Kajian Pelan Induk Aiir Pulau Pinang hingga 2050’, Sungai Muda hanya mampu mengekalkan bekalan air mentah sehingga 2020. – Roketkini.com