Rencana

Fitnah terhadap Sekolah Demokrasi: Merdekakanlah fikiran

Telah tersebar di media sosial seramai 20 orang anak Melayu telah pun ‘murtad’ daripada bangsanya serta menjadi tali barut kepada “parti komunis” DAP. Maka kecohlah seisi pelosok ‘Bolehland’ dengan gambar-gambar ‘pengkhianat bangsa’ atau ‘Melayu tak kenang budi’ itu.

Demikianlah tohmahan-tohmahan manusia wakil Tuhan yang lebih tuhan daripada Tuhan. Benarlah kata orang, jentera parti keris petualang bangsa dengan fitnah lekang tiada.

Pertama-tamanya, persoalan yang timbul di benak saya adalah apakah tahap kefahaman manusia-manusia pemfitnah ini tentang makna demokrasi itu sendiri dan sejauh mana mereka tahu apa yang diajar di Sekolah Demokrasi. Sikap melenting membabi buta kebanyakan orang sebelum menyiasat kebenarannya betul-betul berada pada paras mencemaskan.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) sering difitnah sebagai parti komunis tentu sekali semata-mata kerana majoriti ahlinya yang berdaftar adalah dari kaum Cina. Bukan saja tanggapan stereotaip sebegitu amat jahat, ia malah turut menyerlahkan kejahilan tidak bertebing penuduh sendiri tentang ideologi komunisme. Malah pendukung tegar komunisme sendiri tentunya tidak suka dikaitkan dengan parti DAP yang dianggap tidak cukup revolusioner.

Sudah sekian lama DAP mendukung ideologi Sosial Demokrasi. DAP juga merupakah ahli pertubuhan Sosial Demokrasi antarabangsa, sebaris dengan parti seperti African National Congress, yakni parti mendiang Nelson Mandela.

Apakah Sosial Demokrasi itu? Apa yang membezakan Sosial Demokrasi dengan Komunisme atau Liberalisme? Persoalan inilah yang cuba dirungkai Sekolah Demokrasi. Bukan seperti tuduhan liar yang berkumandang di ruang-ruang siber!

Apakah Sekolah Demokrasi itu tempat indoktrinasi? Ketahuilah, indoktrinasi dan pemaksaan adalah kebiasaan kotor pihak sana, misalnya melalui jentera Biro Tatanegara (BTN). Seringkali kita dengar bagaimana jentera kerajaan digunakan untuk membenihkan dan mencambahkan rasa benci yang teramat kepada parti pembangkang seperti DAP. Adalah salah untuk menganggap apa yang pihak kerajaan gemar lakukan tentulah turut dilakukan pihak pembangkang.

Ketahuilah, Sekolah Demokrasi membuka ruang untuk berfikir, mendebatkan idea dan bersedia untuk berbeza pendapat – amalan yang tentu sekali jauh berbeza jika dibandingkan dengan nafsu membuak puak berkuasa untuk ‘cuci otak’ para warga.

Sebenarnya sejak kecil, masyarakat dimomokkan bahawa jangan menyertai parti politik selain UMNO. Tidak menyokong UMNO bermakna akan menyebabkan negara dikuasai oleh bukan-Melayu. Kemuncak dongeng tentulah di pengakhiran akan membawa akan naiklah Perdana Menteri bukan daripada bangsa Melayu.

Sebab itulah ketika mana individu Melayu seperti Dyana Sofya dan Syefura Othman melawan arus menyertai parti yang kononnya rasis, mengamuklah ‘Melayu-Melayu sejati’ dan dicananglah bahawa mereka telah derhaka kepada ketuanan Melayu. Seterusnya pada hari ini, dicanang pula bahawa segolongan anak muda telah mengikuti jejak langkah derhaka mereka berdua. Semua berpunca dek katak bawah tempurung yang hidup dalam dongengan.

Saya rasa ramai tidak tahu atau pun buat-buat tidak tahu, bahawa di dalam DAP terdapat ahli dari pelbagai keturunan. Mungkin Dr Arifin Omar, Zairil Khir Johari, Dato’ Mohd Ariff Sabri, dan Gobind Singh itu juga berketurunan Cina di mata mereka. Lebih lucu, jika orang Melayu tidak ramai dalam DAP, mereka kata parti dikuasai orang Cina, dan apabila orang Melayu menyertai DAP mereka tuduh pengkhianat dan digertak supaya tinggalkan parti. Sesungguhnya itulah orang-orang yang terjerumus dalam kitaran ganas kejahilan yang ditimpakan ke atas diri sendiri. Sendiri bohong sendiri percaya.

Jika tidak tahu, bertanyalah. Sekurang-kurangnya, selidiklah sesuatu sebelum bercerita tentangnya dan jangan lupa untuk membaca. Merdekakanlah fikiran.

*Fariq Farhan merupakan Alumni Sekolah Demokrasi.