Berita

Ikut konvensi lantik MB, DAP dan PKR hanya calonkan Azizah

PETALING JAYA, 27 OGOS – DAP dan PKR menjunjung titah Tuanku Sultan Selangor dan mempersembahkan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Memetik amalan konvensi sebelum ini, kedua-dua parti meletakkan Wan Azizah sebagai calon tunggal, konsisten dengan keputusan mesyuarat-mesyuarat parti serta faktor majoriti Adun Selangor telah pun menyokong Wan Azizah sebagai calon MB.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan DAP dan PKR, Tuanku Sultan turut menitahkan Pakatan Rakyat mencalonkan lebih dari satu nama ketika melantik MB pada tahun 2013, yang turut menjadi konvensi dalam amalan pelantikan MB Selangor.

“Parti-parti Pakatan Rakyat telah mencalonkan satu nama iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam tahun 2013.”

“Pencalonan ini diperkenankan dan diterimapakai oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor,” ujar kenyataan tersebut yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

DAP dan PKR turut menyertakan salinan surat dari Pejabat Sultan Selangor bertarikh 7 Mei 2013 sebagai rujukan.

“PKR dan DAP mempersembahkan pencalonan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbangkan DYMM Tuanku Sultan Selangor sejajar dengan konvensi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 memandangkan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri (termasuk YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri).”

Semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memohon untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, namun Sultan menangguh penerimaan perletakan jawatan tersebut sehingga calon menteri besar yang baru selesai dipilih. – Roketkini.com