Berita

Negara-Ku gerakan masyarakat, tak perlu didaftar – Zaid Kamaruddin

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Negara-Ku tidak perlu didaftarkan kerana ia bukannya pertubuhan tapi gerakan masyarakat, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku Zaid Kamaruddin.

“Dalam pertemuan lebih dua jam tadi bersama pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS), kami telah menyatakan bahawa Negara-Ku tidak perlu didaftar kerana ia adalah sebuah gerakan masyarakat madani.

“Gerakan kami bertujuan mengupayakan masyarakat Malaysia supaya dapat kembali kepada asas-asas penubuhan negara berdasarkan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Kami juga tidak melanggar mana-mana peraturan atau akta,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan di luar pejabat ROS.

Beliau turut menyelar tuduhan sebilangan pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendakwa nama Negara-Ku tidak sesuai kerana ia milik Malaysia dan mengundang kekeliruan.

“Bagi kami, hubungan di antara ‘Ku’ itu sendiri merujuk kepada diri kita sebagai rakyat dengan negara.

“Walaupun namanya mungkin seakan sama, tapi telah dibezakan dengan sengkang dan ‘capital’ K. Nama Negara-Ku itu sendiri menunjukkan keakraban setiap rakyat Malaysia secara individu kepada negara,” ujarnya.

ROS melalui satu surat bertarikh 20 Ogos memaklumkan kepada Zaid bahawa beliau perlu hadir untuk siasatan ekoran satu aduan terhadap Negara-Ku.

Menurut surat yang ditandatangani Pengarah Bahagian Penguatkuasaan ROS Akmal Yahaya itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966.

Namun, surat tersebut tidak menyatakan lebih lanjut tentang butiran aduan yang dibuat terhadap Negara-ku.

Penaung Negara-Ku Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut hadir di Pejabat ROS Putrajaya memaklumkan beliau juga akan dipanggil untuk membantu siasatan. -Roketkini.com