Berita

Pelan induk pengangkutan pacu pembangunan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 OGOS: Sejumlah 20 firma berminat untuk menyertai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (Transport Master Plan, TMP) Pulau Pinang sebagai rakan kongsi pelaksana projek, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Saya gembira untuk menyatakan sudah lebih 20 firma yang berminat untuk turut serta dalam pelaksanaan TMP yang akan berjalan sehingga tahun 2030. Penyertaan mereka melalui konsep Project Delivery Partner (PDP).

“Ini adalah pelan induk menyeluruh yang menyepadukan jalan darat, laut dan landasan yang digunapakai bermula Mac 2013,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, pelan itu merangka garis masa sehingga tahun 2030 bagi menyediakan jaringan pengangkutan yang dapat menyokong matlamat ekonomi dan sosial negeri secara khusus dan Malaysia secara amnya.

“Sejak George Town tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia, Pulau Pinang menyaksikan peningkatan pelancong dalam dan luar negara. Sektor pelancongan hakikatnya menjana pelbagai kegiatan (dan keuntungan), termasuk kepada pengusaha sektor tempatan, seperti program inap desa yang cukup popular.

“Permintaan terhadap keperluan prasarana dan pengangkutan semakin meningkat seperti lebuhraya baru, pengangkutan awam alihan cepat serta jaringan ke Seberang Perai dan negeri jiran,” katanya.

Oleh itu, kerajaan negeri perlu segera mengatasi cabaran itu bagi memastikan pembangunan negeri pada masa akan datang terus mapan dan berdaya saing serta meningkatkan mutu kehidupan seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Ia bermakna penambahbaikan berterusan jaringan prasarana jalanraya untuk industri pembuatan, sektor pelancongan dan kegiatan perdagangan,” katanya lagi.

Pelaburan di Seberang Perai

Kata Guan Eng, Seberang Perai akan menerima lebih banyak pelaburan melalui pembangunan dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Northern Corridor Economic Region).

“Ini akan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi bukan sahaja dalam industri pembuatan, tetapi juga untuk industri desa tempatan.

“Projek perumahan, sektor pelancongan, institut pendidikan akan bertambah dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan,” katanya lagi.