Berita

Akta Hasutan: Najib atasi rekod 22 tahun ‘zaman gelap’ Dr Mahathir

KUALA LUMPUR 28 OGOS: Tindakan sewenang-wenangnya dan pendakwaan terpilih oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap pemimpin Pakatan Rakyat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada 31 Ogos depan adalah tanda permulaan sebuah pemerintahan kuku besi di Malaysia, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Apa yang berlaku adalah ironi berbanding pengumuman Najib Razak pada Julai 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Nasional, bertujuan menjadikan Malaysia ‘negara demokrasi terbaik dunia’.

“Hakikat yang sebenarnya berlaku ialah Najib mencipta rekod menggunakan Akta Hasutan terhadap Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat, mengatasi ‘zaman gelap’ 22 tahun pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir,” ujar Kit Siang.

Menurutnya lagi, berbanding enam tahun pentadbiran Najib, sepanjang 22 tahun pemerintahan Mahathir hanya seorang ahli parlimen yang didakwa, dipenjara, dan digugurkan kerana akta berkenaan, iaitu Lim Guan Eng.

“Sudah tentu Dr Mahathir ‘dibantu’ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal dengan tahanan tanpa bicara, tetapi ini bukan alasan pentadbiran Najib untuk memulakan zaman kuku besi baru.

“Kebebasan demokratik akan terjejas jika Akta Hasutan dan undang-undang lain yang tidak demokratik dan menindas digunakan sebagai senjata,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Hari ini sahaja dua wakil rakyat diseret ke mahkamah menggunakan Akta Hasutan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli (MP Pandan) menghadapi pertuduhan di mahkamah atas dakwaan ‘fitnah dan provokasi’ terhadap ahli Umno di bawah Seksyen 504 Kanun Acara Jenayah.

Manakala N Surendran (MP Padang Serai) menghadapi tuduhan kedua di bawah Akta Hasutan dalam tenpoh 10 hari berhubung kenyataannya yang dibuat April lalu mengenai penghakiman bertulis sabitan kes Fitnah II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan.

Dalam tempoh sepuluh hari terakhir ini juga kita diperlihatkan dengan kes Akta Hasutan melibatkan Ahli Parlimen ADUN Pakatan Rakyat iaitu Khalid Samad (MP Shah Alam), RSN Rayer (ADUN Seri Delima, Pulau Pinang) dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin (ADUN Changkat, Jering Perak) atas dakwaan kononnya memfitnah Perdana Menteri.

Dakwa pembangkang guna Akta Hasutan jadi duluan?

Merujuk isu yang sama Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata, beliau khuatir apa yang berlaku akan menjadi duluan untuk mengabsahkan siasatan dan pendakwaan ke atas ahli politik Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan.

“Kita bimbang pada masa akan datang, hal yang sama akan dilakukan terhadap ahli parlimen yang menjalankan tugas, kerana apa yang dikatakan akan menjadi asas pertuduhan (dibawah Akta Hasutan),” katanya kepada Roketkini.com

Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor berkata, tindakan ahli politik Pakatan Rakyat mengkritik kerajaan BN adalah perkara yang dibenarkan oleh undang-undang sebagai sebahagian daripada proses semak-imbang, sama seperti diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi di dunia.

Justeru itu, tindakan pentadbiran Najib meneruskan pendakwaan adalah langkah mundur, bercanggah dengan ikrarnya sendiri dua tahun lalu untuk memansuhkan undang-undang lapuk ISA, Akta Hasutan dan Akta Penerbitan Mesin 1984.

“Perdana Menteri di Parlimen berkata bahawa undang-undang ini adalah kuno dan seharusnya digantikan dengan Akta Keharmonian atau akta lain yang dicadangkan.

“Tetapi, mengapa semakin ramai ahli politik pembangkang yang didakwa dan dituduh dibawah akta tersebut?” kata Gobind.

Sehingga kini, 11 wakil rakyat Pakatan Rakyat dan aktivis disiasat dan didakwa di bawah Akta Hastutan termasuk Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Teresa Kok (MP Seputeh), Nik Nazmi (ADUN Seri Setia), Khalid Samad (MP Shah Alam) selain aktivis Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Thamrin Ghafar. – Roketkini.com