Berita

Jadikan Akta Hasutan sebagai senjata, Najib bukan ‘anak jantan’

IPOH, 28 OGOS: Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran mengecam keras tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membuat janji kosong apabila menggunakan Akta Hasutan untuk menindas pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, tindakan mengheret lawan politik ke mahkamah di bawah akta itu jelas bertentangan dengan janji Najib mengenai reformasi politik dan menjadi moderat.

“Walaupun Najib telah melakukan beberapa perubahan perundangan, ia sememangnya hanya untuk menyelamatkan BN pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13.

“Kalau dulu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan sebagai senjata untuk menyekat perbezaan politik dan pengkritik kerajaan, kini Akta Hasutan pula dijadikan senjata baru kerajaan.

“Berdasarkan penganiayaan yang dilakukan ini, saya berani jamin dia akan dikenang dalam sejarah sebagai reformis palsu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu turut mencabar Najib agar menghentikan penganiayaan politik terhadap pembangkang dan melawan dengan saluran betul berasaskan prinsip demokrasi.

“Pada tahun 2012, semasa memberikan komen mengenai himpunan Bersih 3.0 yang menarik 200 ribu rakyat Najib telah mengatakan ‘kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi’.

“Jadi saya ingin mencabar Najib untuk berhenti dari menyalahguna Akta Hasutan terhadap kami dan berlawan secara adil, saksama pada PRU akan datang,” tegasnya.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, mantan Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Surendran, dan Adun DAP Seri Delima RSN Rayer baru-baru ini telah dihadapkan ke mahkamah dengan Akta Hasutan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum itu juga telah disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung artikelnya mengenai kematian Teoh Beng Hock yang diterbitkan laman web The Rocket 16 Julai lalu. -Roketkini.com