Berita

Masalah taraf kewarganegaraan tak selesai, kerajaan diminta dedah hasil progam MyDaftar

BATU GAJAH, 28 OGOS: Kerajaan diminta mendedahkan jumlah aduan dan kes taraf kewarganegaraan yang berjaya diselesaikan selepas pengenalan program MyDaftar sejak Februari 2011.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, ini berikutan aduan bahawa masih ramai di kalangan masyarakat India yang gagal mendapat dokumen taraf warganegara selepas program itu.

“Berapa ramai yang telah diberi taraf warganegara di bawah program itu?

“Saya mohon kerajaan mendedahkan statistik pemberian taraf warganegara kepada kaum India di bawah program itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar berkata demikian berikutan masalah sama dihadapi Neela a/p Apparau, 53, anak jati Malaysia yang masih belum memiliki kad pengenalan merah – status ‘penduduk tetap’.

Neela yang tinggal di Bandar Sri Pengkalan Ipoh beberapa kali memohon bagi mendapatkan status ‘warganegara’ (kad pengenalan biru) sejak berkahwin pada tahun 1984, namun tidak diluluskan hanya kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

Ekoran status ‘penduduk tetap’, Neela terpinggir daripada apa-apa faedah sebagai warganegara termasuk peluang pendidikan dan pekerjaan.

Kata Sivakumar, pejabatnya kini membantu menyelesaikan masalah tersebut dan permohonan kini dibuat berdasarkan Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan berhubung pemerolehan kewarganegaraan.

Dalam pendedahan sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran berkata, sehingga 2012 sejumlah 300,000 masyarakat India masih berstatus penduduk tetap.

Menurut Sivakumar lagi, kerajaan hanya bersikap ‘lepas tangan’ tentang nasib masyarakat India yang tidak berstatus warganegara selain tidak melakukan inisiatif mengenalpasti mereka yang masih memiliki kad pengenalan merah.

“Adakah kerajaan melancarkan satu operasi besar-besaran untuk mengenalpasti semua orang yang memiliki kad pengenalan merah di negara ini? Setakat ini saya belum dengar apa-apa.

“Mereka tidak mendapat bantuan. Ramai yang ditipu pihak tertentu yang mengambil kesempatan. Sampai bila masyarakat India akan ditipu dan diperdayakan?

“MyDaftar hanyalah politik kosmetik kerajaan BN untuk mengelirukan masyarakat India sewaktu pilihanraya,” ujar beliau. – Roketkini.com