Berita

Proses bersih tapak kilang TGE jadi projek balak?

TAWAU, 28 OGOS: DAP Sabah mempersoalkan kenyataan bercanggah Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming berhubung kontroversi pembalakan haram di tapak projek kilang geoterma Tawau Green Energy (TGE).

Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, kenyataan Pang bukan saja bercanggah malah lebih banyak meninggalkan tanda tanya terhadap ketelusan projek tersebut.

“Kenyataan Pang baru-baru ini telah menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan mengenai projek loji janakuasa di Hutan Simpan Andrassy.

“Pang menyatakan 400 hektar tanah di mana 370 hektar milik Taman-Taman Sabah dan 30 hektar milik Jabatan Perhutanan Sabah (SFD).

“Ini sama sekali tidak konsisten dengan kandungan yang tertera dalam ‘Project Design Document of Clean Development Mechanism’ bagi projek TGE,” ujar Chan.

Katanya, berdasarkan ‘Project Design Document of Clean Development Mechanism’ bertarikh 9 Februari 2012 dan mesyuarat antara pihak berkepentingan pada 20 Julai 2011, kandungannya jelas menyatakan bahawa kawasan yang dipajak untuk projek TGE di antara 2 hingga 3 ekar.

Manakala tambahan 30 ekar adalah bagi menampung pembinaan telaga geoterma dan pembinaan paip-paip berkaitan.

Namun, Pengarah Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan pada September 2013 menyebut kawasan yang dianggarkan untuk pembersihan tapak seluas 150 hektar.

“Jadi kami ingin tahu bagaimana saiz itu boleh bertambah? Dari 30 ekar pada tahun 2011 kepada 150 hektar (2013) dan selepas setahun menjadi 400 hektar pula?

“Adakah ia disebabkan pengurusan projek yang lemah atau SFD gagal memantau aktiviti pembalakan? Apakah saiz akan dibesarkan lagi selepas ini?

“Paling penting sekarang ini, apakah orang awam telah ditipu oleh TGE dan SFD?” soal Chan yang juga Adun Seri Tanjong. – Roketkini.com.