Berita

Kalau Rafizi boleh didakwa, bagaimana dengan fitnah MB Negeri Sembilan? – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Berbanding kenyataan Rafizi Ramli, fitnah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa Pakatan Rakyat akan membawa kembali Singapura ke dalam Malaysia jika berjaya mentadbir di peringkat pusat adalah jelas satu provokasi dan tidak bertanggungjawab, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau merujuk ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan ketika mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau 2014 24 Ogos lalu.

Menurut Free Malaysia Today, Mohamad Hassan berkata Pakatan ingin memasukkan kembali Singapura demi menambahkan 89 kerusi Parlimen bukan-Melayu.

“Pada saat itu kita akan jadi orang yang tidak mempunyai hala tuju, di mana orang Melayu akan hancur kerana kehilangan tonggak dan tempat bergantung hidup…Pastikan Umno kekal sebagai pemegang warisan, agar maruah orang Melayu akan terus terbela,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

“Saya tidak menyangka beliau boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta melaga-lagakan kaum seperti itu. Adakah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan mendakwa beliau di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sama seperti Rafizi)?

“Ini kerana kenyataan itu berkemungkinan membangkitkan kemarahan ahli DAP, PKR dan PAS,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Semalam, Naib Presiden PKR didakwa di bawah akta itu atas tuduhan ‘mengaibkan dan mendatangkan kemarahan Umno’, berikutan kenyataannya berkaitan insiden serangan molotov cocktail di sebuah gereja di Petaling Jaya, Februari lalu.

“Saya tidak mengatakan beliau perlu didakwa, tetapi Peguam Negara perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap orang ramai, dan menjelaskan sama ada beliau terbabit kebelakangan ini melakukan pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadap wakil rakyat Pakatan,” katanya lagi. – Roketkini.com