Berita

Muafakat politik Pakatan beri makna kepada ‘PAS for all’ – Dr Dzul

 

KUALA LUMPUR, 29 OGOS – “Kita tidak boleh menangani cabaran perjuangan hari ini dengan kembali kepada fikrah 60-an dan 70-an. Perlu ada ijtihad-ijtihad baru daripada ulama-ulama haraki dan ilmuan Islam.”

Demikian kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad dalam menjengah semula penafsiran slogan ‘PAS for all’ dalam temubual eksklusif bersama Roketkini hari ini.

Bagi Dr Dzul, muafakat politik PAS bersama DAP dan PKR memberi makna kepada slogan tersebut yang, baginya, sedikit lompang dan memerlukan pengisian.

“Kalau PAS mampu untuk bersama dalam satu muafakat politik bersama DAP yang punya ideologi yang berbeza, dan PKR yang juga tidak mempunyai ideologi yang sama, bermakna sudah pun mampu berhubung dengan pemain-pemain politik yang satu hari nanti akan mampu mengambil alih negara,” katanya.

Tentang kewujudan beberapa pihak dalam PAS yang akhir-akhir ini kelihatan tidak selesa dengan muafakat tersebut, Dr Dzul tetap optimis dan mengharapkan berlaku perubahan dan proses kesedaran dari segi fikrah PAS.

“Begitu mudah orang mengatakan ‘kalau tahalluf siyasi tidak menguntungkan PAS, kita akan keluar’.”

“Persoalannya bagaimana [yang dimaksudkan dengan] ‘menguntungkan’, apa yang bercanggah, apa yang bertembungan dengan prinsip dan apa pula prinsip yang bertembung,” ujar beliau.

“Perlu berlaku dalam PAS sendiri satu proses kesedaran dan keinsafan untuk memahami apa itu Islam yang politikal, dalam konteks cabaran, perjuangan dan tuntutan, termasuk tuntutan tahalluf sebuah koalisi politik.”

Jangan ulang kesilapan lalu

Bagi Dr Dzul, ketika PAS diangkat mengetuai blok pembangkang setelah memenangi 27 kerusi pada pilihanraya tahun 1999, malang sekali pemikiran politik arus perdana tidak dapat masuk dengan kedudukan PAS di pentas utama.

“PAS silap menanggapi sebabnya (kemenangan 1999), ada yang mengatakan bahawa umat Melayu Islam sudah bersedia menjadikan negara ini negara Islam.”

“Itulah pembacaan paling salah terhadap situasi tersebut. Dan kita pada pilihanraya 2004 telah diberikan satu pengajaran supaya bijak, teliti dan cermat membaca politik negara,” ujar bekas ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Muafakat politik Pakatan Rakyat seakan sedikit tergendala lantaran kemelut Menteri Besar Selangor dan menonjolkan permasalahan dalaman parti-parti komponen terutamanya PAS yang dilihat terbelah dua.

Istana Selangor telah memberi tempoh sehingga 3 September untuk Pakatan Rakyat mengemukakan nama-nama calon pengganti Menteri Besar setelah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon meletakkan jawatannya Selasa lalu. – Roketkini.com