Rencana

Penjelasan tentang video mesyuarat DAP

Baru-baru ini, satu klip video telah disebarkan melalui laman sosial pro-BN yang menuduh DAP sebagai parti yang rasis. Ia berhubung satu mesyuarat dalaman DAP di Johor yang berlangsung pada 30 Mei 2012. Secara tidak langsung, saya turut dirakam dan muncul dalam video tersebut, maka kerana itu adalah wajar saya memberikan penerangan berkaitan isu tersebut.

Malam tersebut merupakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Gelang Patah yang mana pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) bagi penggal baru akan dijalankan. Jumlah kehadiran mesyuarat adalah lebih kurang dua puluh orang, termasuklah sekumpulan lima atau enam orang ahli berketurunan India. Saya telah dijemput menghadiri mesyuarat tersebut sebagai wakil Jawatankuasa Negeri atas kapasiti selaku Setiausaha Organisasi Negeri.

Memandangkan ahli mesyuarat yang terdiri daripada ahli pelbagai kaum, Pengerusi (speaker) mesyuarat itu telah menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Cina untuk mengendalikan mesyuarat tersebut.

Namun demikian, pada pertengahan mesyuarat seorang ahli berketurunan India telah mempertikai penggunaan dwi bahasa oleh Speaker.

Berikut adalah petikan sebahagian perbualan mereka yang masih saya ingat tetapi DIHILANGKAN dalam klip video yang diheboh-hebohkan dalam laman sosial:

K – ahli berketurunan India dalam rakaman video tersebut
S – Speaker mesyuarat dalam video tersebut

K : Speaker, mengapa buang masa menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Cina?

S : Terdapat ahli-ahli kaum Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu, maka kita terpaksa menggunakan dwi-bahasa.

K : Kami orang India juga tak faham Bahasa Melayu. Mengapa awak tak cakap Tamil dalam mesyuarat?

S : Maaf, saya tak tahu cakap Tamil, boleh saudari tolong ‘translate’ ke Tamil?

K : ‘Sorry’, kerja saya bukan ‘translator’ awak…

S : Maaf, saya tidak dapat menggunakan (bahasa) Tamil dan saya mengumumkan mesyuarat ini dijalankan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

K : Mengapa awak tak gunakan Tamil? Awak rasis.

S : Kalau awak masih buat kacau, minta keluar!

Perbalahan tersebut berterusan sehingga mengganggu perjalanan mesyuarat, maka dengan itu Speaker mesyuarat memutuskan untuk mengarahkan kumpulan terbabit keluar dari mesyuarat.

Saya masih ingat, saya telah meminta kumpulan tersebut berhenti mengambil rakaman di mana garis panduan mesyuarat melarang sebarang pengambilan gambar semasa penjalanan mesyuarat.

Mereka engan berhenti merakam dan asyik berkata mereka ingin mengumpul maklumat. Selepas itu, kumpulan terbabit telah menyatakan sokongan padu mereka kepada BN dan keluar parti semasa kempen PRU-13.

Saya berasa amat kesal atas insiden yang berlaku dan percaya rakaman yang dibuat semasa perjalanan mesyuarat tersebut telah disunting sebelum dimuat naik ke laman sosial.

Video itu telah dimanipulasi untuk memburukkan DAP dengan menggambarkannya sebagai parti yang rasis. Padahal, kami telah cuba sedaya upaya untuk menjalankan mesyuarat parti dalam sekurang-kurang dwi-bahasa, walaupun kadang-kala ahli mesyuarat terdiri dari seorang ahli India atau Melayu.

Sepanjang sejarah 48 tahun Parti DAP ditubuhkan, kita senantiasa mengamalkan dan menghormati kepelbagaian bahasa, budaya dan agama.

Dasar kepelbagaian ini bukan sahaja menjadi dasar DAP malah kami dengan sedaya upaya terus melaksanakannya sebagai suatu amalan dan tradisi parti. Walaupun sepanjang hampir setengah abad DAP begitu teruk dicaci-maki oleh media UMNO sebagai ekstremis, namun kami tetap berpegang teguh kepada prinsip dan dasar murni tersebut. – Roketkini.com

*Tan Hong Pin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol