Berita

Siri pendakwaan Akta Hasutan: Kit Siang bidas Zahid lepas tangan

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membidas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang cuba ‘melepaskan diri’ daripada siri terbaru pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Zahid cuba mengelak dan mengalihkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung tindakan itu.

“Bagaimana seorang Menteri Dalam Negeri, atau mana-mana menteri kabinet serta parti komponan BN, boleh menafikan bertanggungjawab atas ‘era kuku besi baru’ Najib ini, di mana akta Hasutan dan undang-undang lain disalahguna untuk memberi tafsiran baru bagi menyekat penentangan dan menekan kebebasan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika benar pimpinan BN tidak bertanggungjawab dengan salah guna kuasa itu, kata Kit Siang, mereka sepatutnya bersuara mengecamnya dan mendesak Abdul Gani memberikan penjelasan berhubung siri pendakwaan tersebut.

“Walau pun Peguam Negara diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 145 untuk ‘memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan’, beliau memikul tanggungjawab awam untuk menjelaskannya,” katanya lagi.

Pada tahun ini sahaja, seramai lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat didakwa di bawah akta itu, iaitu Teresa Kok (Seputeh), N Surendran (Padang Serai), Khalid Samad (Shah Alam), Tian Chua (Batu) dan seorang Adun, iaitu RSN Rayer (Seri Delima).

Dakwaan terhadap Rafizi mengarut

Ahli parlimen Gelang Patah itu turut mengulas pendakwaan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli semalam sebagai karut dan ‘luar biasa’.

Rafizi didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kononnya kerana mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada ahli Umno, berhubung kejadian membaling ‘molotov cocktail’ pada sebuah gereja Februari lalu.

Katanya, jika berpandukan dakwaan ke atas Rafizi, puluhan pimpinan Umno BN patut diheret sama ke mahkamah di bawah seksyen itu.

Beliau mengambil contoh tohmahan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, bahawa keputusan beliau bertanding di Gelang Patah, Johor, pada Pilihanraya Umum lalu adalah untuk membangkitkan permusuhan antara masyarakat Melayu dan Cina di sana.

Selain itu, tohmahan dan fitnah banyak pimpinan dan ‘cybertrooper’ Umno kononnya DAP mahu menubuhkan ‘negara Kristian’ dan memansuhkan sistem Raja Berperlembagaan juga dibiarkan begitu sahaja. – Roketkini.com