Berita

‘Kenapa dua statistik berbeza untuk kadar jenayah tahun yang sama?’ – Teo Nie Ching

KULAI, 30 OGOS:  Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mempersoalkan perbezaan statistik kadar jenayah tahun 2013 yang diberikan Parlimen menerusi dua jawapan bertulis yang berlainan.

Dua statistik itu diberikan kepada Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin.

Jawapan kepada Liew Chin Tong

Jawapan kepada Liew Chin Tong

“Perbezaan kedua-duanya sangat besar. Bagaimana kita boleh ada dua statistik berbeza untuk tahun yang sama?” katanya dalam satu kenyataan.

Teo berkata, perkara itu sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi daripada Dewan Rakyat yang merupakan institusi tertinggi negara.

Menurut jawapan Parlimen yang diberi kepada Liew Chin Tong, jumlah jenayah kekerasan yang berlaku pada tahun 2013 adalah 29,375, manakala jenayah harta benda 117,687.

Jawapan kepada Izani Husin

Jawapan kepada Izani Husin

Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding jawapan yang diberikan kepada Izani, iaitu 20,246 bagi jenayah kekerasan dan 79,367 bagi jenayah harta benda.

Beliau berkata lagi, Kementerian Dalam Negeri perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengambil ringan terhadap jawapan yang diberikan di Parlimen, jika ingin menjadikan institusi tersebut bertaraf kelas pertama.

“Daripada sibuk menyiasat Ahli Parlimen Pakatan di bawah Akta Hasutan, bolehkah Menteri Dalam Negeri kita (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) meluangkan masa untuk menjelaskan percanggahan ini?” sindirnya. – Roketkini.com