Berita

Guan Eng minta polis kemuka bukti ahli PPS terlibat jenayah

GEORGE TOWN, 2 SEPTEMBER: Kerajaan Pulau Pinang meminta polis mengemukakan bukti bahawa 11 daripada 156 orang anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan baru-baru ini mempunyai rekod jenayah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan berusaha mengesahkan dakwaan tersebut sama ada terdapat sebarang laporan polis atau tuduhan terhadap 11 anggota PPS ketika melaksanakan tugas.

“Jika tidak ada sebarang bukti, ini ternyata tidak adil kepada keseluruhan anggota PPS seramai 9,000 orang dengan pelbagai latar belakang.

“Saya ingin bertanya, apakah perlu 120,000 orang anggota polis didakwa hanya kerana tindakan segelintir mereka terlibat dalam pembunuhan menggunakan bahan letupan C4, menyebabkan kematian tahanan, jenayah seperti rompakan atau menyalahguna kuasa dengan terlibat dalam rasuah?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, jika disabit kesalahan melanggar kesalahan atau undang-undang, tidak ada anggota PPS akan dilindungi.

“Penduduk Pulau Pinang boleh membuktikan kerja baik dilakukan PPS, khusus membantu orang ramai dan polis. Malangnya media kawalan BN termasuk beberapa akhbar Cina menerima pakai pendirian mereka yang anti-PPS.

“Kerajaan negeri ingin mengulangi bahawa tidak pernah menerima apa-apa aduan bertulis daripada pihak polis terhadap PPS secara keseluruhan.

“Jika terdapat sebarang aduan, ia seharusnya dimaklumkan kepada ahli Exco Phee Boon Poh atau saya sendiri,” tegas beliau.

Timbalan Ketua Komander Kanan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi pagi ini mendakwa 11 daripada 156 orang anggota PPS dikenal pasti mempunyai rekod jenayah.

Menurut Abdul Rahim jenayah dilakukan termask rompakan, dadah dan pembunuhan.

Guan Eng turut kesal terhadap tindakan beberapa akhbar memutar belit isu PPS menjadi untuk menekan Kerajaan Negeri.

Jelasnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa menubuhkan badan terbabit dan mengikut cara sama penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau JKKK (P) yang telah ditubuhkan Kerajaan Persekutuan. -Roketkini.com.