Berita

Pentadbiran Najib paling huru-hara dalam sejarah Malaysia – Kit Siang

KENINGAU, 2 SEPTEMBER: Penjelasan Pejabat Perdana Menteri (JPM) berhubung penggunaan Akta Hasutan 1948 bukti pentadbiran sedia ada merupakan kerajaan ‘paling huru hara dalam sejarah Malaysia’, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, dengan kenyataan sedemikian menunjukkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak seperti tidak tahu menahu apa yang sedang dilakukan pihak lain.

“Tidak ada Perdana Menteri seperti dia yang menjanjikan Malaysia sebagai ‘negara demokrasi terbaik di dunia’, di sisi lain membenarkan Peguam Negara mendakwa pemimpin pembangkang.

“Pentadbiran Najib bukan hanya ‘auto-pilot’, tapi paling huru-hara dalam sejarah yang sebenarnya hanya berlaku di negeri demokrasi terburuk di dunia,” kata Kit Siang ketika berucap dalam upacara Batu Sumpah, di Keningau baru-baru ini.

Beliau merujuk penafian JPM dalam kenyataan tanpa nama sebelum ini bahawa kerajaan menjalankan pendakwaan terpilih menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa pemimpin pembangkang.

Kenyataan tersebut menyebut bahawa sebarang pertuduhan mengikut akta itu ditangani mahkamah dan badan kehakiman Malaysia yang bebas.

“Pertama sekali, saya ingin bertanya kenyataan itu dikeluarkan oleh siapa? Mengapa tanpa nama?

“Kedua, kenyataan itu terbukti mendedahkan mereka yang berkuasa nampaknya tiada idea apa yang mereka lakukan.

:Amat mengejutkan apabila mereka yang bertanggungjawab dalam kenyataan itu seolah-olah tidak memahami bahawa Peguam Negara terlibat dalam pendakwaan terpilih dibawah Akta Hasutan dan bukannya badan kehakiman,” tegas Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan Tan Sri Abdul Gani Patail memang diberi kuasa untuk memulakan pendakwaan, namun bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa pihkanya tidak melakukan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin pembangkang.

“Peguam Negara adalah ketua pendakwa dalam pentadbiran Najib dan dia mesti mencerminkan dasar yang dijanjikan Perdana Menteri.

“Najib berjanji menjadikan Malaysia negara ‘demokrasi terbaik dunia’ tetapi dakwaan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat bagi kesalahan hasutan tidak pernah kita dengar meskpun sepanjang 22 tahun ‘zaman gelap’ 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir,” ujarnya. – Roketkini.com