Rencana

Di sini lahirnya sebuah kekeliruan

Oleh: Izmil Amri

Seperti juga saya, anda barangkali merasai perkara yang sama. Kita semua sama-sama keliru, seraya menggaru kepala melihat perkembangan negara hari demi hari. Banyak hal yang tak kena, seperti juga banyak hal yang buat kita melopong ternganga bertanya ‘apa kejadahnya semua ini’.

Sebenarnya kekalutan yang terhidang di depan mata ini bukan benda baru. Kita memang tahu bahawa kerajaan United Malays National Organisation adalah kerajaan yang kalut dan suka buat kalut. Setiap kali ia melihat dirinya tidak popular dan tidak jadi sebutan orang ramai, ia akan bikin kalut.

Mungkin sahaja ia cemburu dengan liputan media yang saban hari menyebut-nyebut nama Pakatan Rakyat. Mungkin juga ia merasakan hanya dirinya sahaja yang layak disebut-sebut media, tidak kira lah walaupun yang disebut-sebut itu kebodohannya. Hanya dia sahaja yang layak popular. Dia kan kerajaan.

Maka dia pun bertindak mempopularkan dirinya, dan pada masa yang sama menimbulkan kekeliruan serta ingatan orang ramai terhadap rasa menyampah yang sudah lama tidur.

Lihat sahaja bagaimana sang pemerintah ini bertindak dengan kepala lutut apabila ia memberkas ratusan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, sebaik sahaja kontinjen tersebut selesai menyertai perarakan Hari Merdeka. Meski dijamu nasi kandar, kita masih lagi tertanya-tanya apa dosa mereka ini sehingga dilayan seperti penjenayah?

Lebih menarik lagi, ini semua terjadi kurang 12 jam selepas rumah Ketua Menteri Pulau Pinang dilempari molotov cocktail. Kalaulah pihak berwajib membuat rondaan di sekitar kediaman Ketua Menteri, pastilah tidak ada malaun yang berani berbuat onar sedemikian. Tetapi apabila ada sukarelawan mahu membuat rondaan, diberkas pula secara berjemaah.

Secara automatik Umno dan BN berjaya meletakkan dirinya di pentas utama perkembangan politik negara setelah sekian lama media hanya mengarahkan lampu limpahnya ke wajah-wajah pimpinan Pakatan Rakyat berikutan kemelut Menteri Besar Selangor.

Lebih rancak lagi apabila tindakan pihak polis ini disambut komen bijaksana Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata bahawa orang bukan-Melayu kian keras kepala kerana orang Melayu terlalu baik.

Seperti mengorek lubang kubur sendiri, Zahid dengan cemerlang mengingatkan kita betapa gagalnya beliau dan kerajaan pimpinan Najib Razak menangani isu-isu keselamatan dan keharmonian kaum, malah menambah minyak kepada api yang sedang marak dengan komen ‘bukan-Melayu makin keras kepala’ ini.

Jadi celah mana munculnya cinta dan perpaduan yang jadi bahan sembang kencang pemuka-pemuka Umno-BN di media sosial.

Dari celah mana pula Merdeka itu bebas daripada cengkaman penjajah sedangkan undang-undang penjajah seperti Akta Hasutan 1948 masih lagi digunakan untuk menutup mulut pemimpin Pakatan dan aktivis rakyat yang tidak lagi mampu dikalahkan di meja debat.

Kita keliru dengan pendekatan parti pemerintah yang dua tahun lalu beriya-iya betul mahu memansuhkan Akta Hasutan, tetapi sekarang galak mengheret sesiapa sahaja yang ia rasakan terlalu lantang ke kandang tertuduh dengan dakwaan menghasut.

Eh, kalau dah nama pun pembangkang, takkan kerjanya hendak puji kerajaan sepanjang masa.

Kalau mengkritik kerajaan pun salah, buat apa ada parti pembangkang? Baiklah tiru sahaja negara-negara komunis yang cuma ada satu parti, tak perlu lawan-lawan lagi. Tak perlu menghasut. Jadi macam lembu.

Dan kita juga keliru dengan mesej berkecamuk yang cuba disampaikan kerajaan apabila satu pihak beriya mengaku progresif segala bagai dan bercita-cita mahukan keharmonian dan perpaduan, tiba-tiba ada menteri terlebih cerdik bermain mancis seakan sengaja mahu bakar api perkauman.

Sia-sia sahaja dibuat iklan-iklan Hari Merdeka dengan mesej perpaduan, sampai siap upah Mat Saleh berlakon, kalau hakikatnya pemerintah negara ini lebih suka rakyatnya berbalah dan terpecah-pecah supaya mudah dikembiri dan diperbodoh.

Kekeliruan yang bertimpa-timpa ini satu sahaja tujuannya. Sama tujuannya dengan mendakwa Azmi Sharom si pensyarah undang-undang Universiti Malaya bertocang. Semua ini adalah untuk menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa, “Hey! Kami masih berkuasa. Kami masih relevan dan popular. Tunduk sujudlah kalian kepada kami, pemerintah kamu.”

Dan kita pun terketar-ketarlah tunduk patuh. Sambil duit di dompet mengalir laju buat menampung kenaikan kos sara hidup. Eh, roti canai dah naik harga sekeping RM1.20, sedar tidak? Padan muka anda, mudah terkeliru dan dilupakan. Padan muka kita semua. – Roketkini.com