Berita

Kenyataan perkauman Zahid Hamidi adalah kesalahan jenayah

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Kenyataan berbaur perkauman oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan media semalam mesti disiasat dan diambil tindakan kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata bahawa orang bukan-Melayu semakin angkuh kerana orang Melayu terlalu baik hati terhadap mereka. Beliau mendakwa kaum bukan-Melayu semakin bongkak dan menghina orang Melayu Bumiputera, institusi raja-raja dan agama Islam.

Beliau kemudiannya mendakwa kenyataan itu telah disalaherti dan mendakwa komen tersebut ditujukan kepada DAP dan penyokong-penyokongnya.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab Ahmad Zahid itu, sambil menyifatkan bahawa Zahid merasakan dirinya seakan tidak boleh disentuh undang-undang.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi hal penguatkuasaan undang-undang, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya merasakan undang-undang itu berada di telapak kakinya,” ujar Lip Eng.

“Zahid dengan bersahaja menyatakan tuduhan sedemikian tanpa memberikan sebarang fakta atau bukti. Ini bukan sahaja suatu fitnah malah merupakan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan,” tegas beliau.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, menuntut supaya Zahid Hamidi disiasat di bawah kesalahan fitnah jenayah menurut Seksyen 499 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 504 undang-undang yang sama.

“Namun saya merasakan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan pastinya membutakan mata dan memekakkan telinga daripada ucapan provokatif sedemikian daripada menterinya.”

“Apa yang lebih merunsingkan saya ialah, adakah pihak polis akan memberi layanan buruk kepada warganegara bukan-Melayu setelah menteri mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian?” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, Zahid Hamidi sewajarnya diambil tindakan oleh pihak polis atas ucapannya yang bersifat perkauman itu.

“Jangan sekadar ambil tindakan terhadap ahli akademik dan pakcik-pakcik tua peronda sukarela sahaja.”

“Zahid Hamidi barangkali sudah lupa ajaran agama Islam untuk mendatangkan bukti-bukti apabila membuat tuduhan, dan beliau juga turut lupa bahawa agamanya menyatakan bahawa fitnah itu lebih berat dosanya daripada membunuh,” tambah Lip Eng. – Roketkini.com