Rencana

Siapa sebenarnya PPS?

Pagi 31 Ogos itu bermula sebagaimana kelaziman bagi semua rakyat Malaysia. Demikian juga di Pulau Pinang yang menyaksikan sedari awal pagi lagi orang ramai telah berkumpul di Padang Kota Lama bagi upacara sambutan Hari Kemerdekaan ke-57. Semua nampak ceria dan bersemangat mahu melaungkan kata Merdeka!

Rupanya-rupanya 31 Ogos kali ini tidak akan sama dengan 31 Ogos sebelumnya. Tiada siapa yang bangun pagi itu menduga bahawa 156 orang anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ikut berbaris pagi itu ditahan polis dan dilokap semalam.

Malah, lebih ramai yang tidak tidak menyangka bahawa Exco Kerajaan Negeri YB Phee Boon Poh, orang yang bertanggungjawab mengendalikan PPS juga turut meringkuk dalam lokap semalaman. Seolah-olah tidak cukup dengan semua kejutan itu, pihak polis mengumumkan pula bahawa semua ahli PPS dikehendaki menyerah diri ke balai polis atau berdepan dengan tangkapan.

Mengapa tiba-tiba PPS menjadi sasaran pihak polis dan dianggap sebagai penjenayah besar sedangkan penubuhan PPS telah diluluskan mesyuarat Exco pada April 2009, dan selama ini tidak pernah ada isu mengenai kesahihannya? Tambah mendukacitakan apabila isu PPS ini diputar-belitkan oleh media massa sehingga kepada mereka yang tidak pernah mengenali dan memahami fungsi PPS beranggapan bahawa PPS ini adalah pertubuhan bawah tanah yang berjaya dipatahkan oleh pasukan polis!

Malah, wujud tuduhan bahawa PPS adalah organisasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencabar kuasa polis dan menghina institusi penguatkuasaan undang-undang negara ini. Mudahnya, Pulau Pinang konon mahu mewujudkan polis mereka sendiri dan meremehkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tentu sekali tuduhan ini tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Selama ini bukan sahaja pihak PDRM maklum akan kewujudan PPS malahan juga selama ini pihak polis bekerjasama dengan PPS. Semua rondaan PPS akan disemak oleh polis (diperakukan dengan cop polis sekali).

Sebagaimana biasa, sebarang isu di negara ini apabila dipolitikkan akan mudah untuk terjerumus dalam retorik perkauman yang memualkan. Entah bagaimana timbul pula cerita bahawa PPS bertujuan untuk melindungi ahli kongsi gelap Cina tertentu. Mana mungkin PPS merupakan ahli kongsi gelap Cina jika separuh daripada ahlinya bukan kaum Cina!

Demikianlah jadinya apabila kita tidak merujuk kepada fakta. Setakat ini, PPS mempunyai kekuatan 9,002 orang anggota dengan 2,970 adalah daripada kaum Melayu, manakala 5,123 daripadanya ialah Cina, dan baki 873 orang lagi terdiri daripada kaum India.

Tugas PPS adalah untuk membantu dalam pengurusan bencana, kecemasan, serta keselamatan melalui rondaan taman perumahan dan sebagainya. PPS tidak membawa senjata dan hanya membawa walkie-talkie. Jika berlaku sebarang masalah mereka akan menghubungi polis dan tidak pernah dibenar atau diarahkan untuk melakukan tangkapan.

Secara umumnya PPS sekadar bertindak secara sukarela bagi membantu pihak polis meningkatkan tahap keselamatan di tempat awam dan membantu ketika berlakunya bencana. Pada masa yang sama PPS bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan masyarakat. Maka tidak timbul isu sama ada tindakan ini sebagai mencabar bidang kuasa polis. Bukan itu sahaja, sokongan PPS ini ternyata berkesan apabila secara statistiknya kadar jenayah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan yang signifikan dan masyarakat secara amnya berasa lebih selamat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menolak dakwaan Timbalan Komander Kanan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bahawa sebelas daripada 156 ahli unit Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan pada 31 Ogos kelmarin mempunyai rekod jenayah yang melibatkan kecurian, rompakan, dadah, kesalahan berkaitan kongsi gelap dan juga bunuh. Begitu juga mereka yang air kencing diuji positif mungkin disebabkan oleh ubat yang diambil untuk penyakit tertentu.

Namun, adalah tidak adil untuk menghukum dan mempertikaikan kewujudan PPS hanya semata-mata terdapat beberapa anggota yang mempunyai rekod jenayah. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri telah membuat kenyataan yang sangat jelas berhubung perkara ini bahawa kerajaan negeri tidak akan melindungi dan berkompromi dengan mana-mana anggota yang melakukan salah laku atau pun jenayah.

Saban tahun terdapat banyak laporan termasuk yang diterbitkan oleh Amnesty International dan Suaram serta lain-lain pertubuhan Hak Asasi Manusia (HAM) mengenai salah laku anggota polis dan Rela. Namun adalah tidak adil untuk menghukum keseluruhan organisasi semata-mata berdasarkan perlakuan beberapa anggota. Sudah pasti jika kita menggunakan akal yang sihat, kaedah terbaik bagi mengatasi masalah ini adalah dengan meningkatkan profesionalisme anggota keselamatan, bukan membubarkannya!

Ironinya, tangkapan 156 orang anggota PPS ini bukan mencalarkan profesionalisme PPS sebaliknya pasukan polis. Apa tidaknya, sehingga saat ini, pasukan polis gagal bertindak terhadap banyak laporan kes jenayah berprofil tinggi dan akhirnya memilih untuk menahan anggota PPS yang selama ini hanya semata-mata bertujuan untuk membantu menjaga keselamatan masyarakat.

Tanpa alasan yang kukuh, tindakan polis ini hanya membawa kita kepada satu kesimpulan mudah: segala-galanya bermotifkan politik.

Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan semoga profesionalisme pasukan polis negara dapat dikembalikan.

Selamat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.- Roketkini.com

*Penulis adalah Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera