Berita

Rakyat bukan ‘pak turut’ akar umbi Umno, mansuhkan Akta Hasutan segera

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim jelas membuktikan beliau dan majoriti akar umbi Umno tidak pernah memahami mesej transformasi Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng.

Menurutnya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kelmarin bukan sahaja menggelikan hati, malah bertentangan dengan hasrat Najib sendiri untuk memansuhkan akta tersebut.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan dua tahun lalu dan baru saja mengulangi hasrat itu setelah Shahidan mendakwa ia tidak pernah dibuat.

“Jelas di sini ahli-ahli Umno tidak memahami mesej transformasi Najib, yang bukan saja terbukti gagal disampaikan ke peringkat akar umbi, malah turut terbantut di peringkat pucuk pimpinan.

“Takkanlah rakyat negara ini sekadar perlu dengar kehendak akar umbi Umno? Takkanlah suara mereka sahaja yang dipedulikan Shahidan?

“Bagaimana dengan rakyat yang bukan ahli Umno? Apakah kehendak rakyat tidak penting di mata Shahidan?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahidan semalam mendakwa tidak pernah berjanji memansuhkan akta kuno itu tetapi hanya mahu mengkajinya walaupun Najib dua tahun lalu mengatakan sebaliknya.

Kenyataan Shahidan bercanggah dengan janji Najib pada 11 Julai 2012 bahawa Akta Hasutan akan dimansuh dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Sehubungan itu, Lip Eng mencadangkan Shahidan menggunakan peruntukan parlimen bagi mendapatkan khidmat bancian antarabangsa untuk mendapat maklumbalas di seluruh negara dan menentukan apakah rakyat mahu memansuhkan Akta Hasutan.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur turut mencabar parti-parti komponen BN agar berani melakukan bancian maklumbalas di peringkat bahagian masing-masing.

“Takkanlah MCA dan MIC hanya perlu ikut saja kehendak akar umbi Umno, macam mana pula dengan kehendak ahli akar umbi parti-parti komponen lain?” katanya.

Beliau turut menggesa Najib menyegerakan janji itu termasuk menghentikan pendakwaan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dan organisasi masyarakat.

“Saya berharap supaya janji Najib bukanlah sekadar di mulut sahaja.

“Sewajarnya pendakwaan dihentikan dan ditarik balik sekiranya Najib benar-benar ikhlas mahu memansuhkan undang-undang tinggalan penjajah ini,” tegasnya. – Roketkini.com