Rencana

Alu-aluan buat perwakilan PAS

Bagi pihak DAP Johor, selamat datang saya ucapkan kepada semua perwakilan PAS seluruh negara yang akan bermuktamar di negeri Darul Takzim tidak lama lagi.

Juga, dengan izin, selamat datang ke negeri darul UMNO yang terakhir!

Tahniah kepada pimpinan PAS yang memutuskan untuk bermuktamar di Johor. Kalau tidak silap saya, ini kali pertama PAS menganjurkan muktamar di negeri Johor.

Saya ingin menzahirkan semangat solidariti dengan PAS yang terpaksa mengalih tempat muktamar dari Johor Bahru ke Batu Pahat disebabkan masalah permit kerajaan tempatan.

Pejabat saya, Pusat Komuniti Kluang, yang akan menganjur Pesta Kluang pada 13hb hingga 20hb September juga belum mendapat permit dari Majlis Daerah Kluang.

Mungkin ada hikmah di sebalik masalah ini. Sekurang-kurangnya kita semua dalam pembangkang keluar dari zon selesa masing-masing. Sekurang-kurangnya masalah ini mengajar kita supaya lebih bijak dan berhemah melaksanakan tugas.

Sebelum memenangi kerusi Parlimen Kluang pada tahun 2013, saya adalah ahli parlimen Bukit Bendera penggal tahun 2008. Jadi, di Pulau Pinang saya adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri. Di sana kerajaan negeri bertindak adil untuk semua pihak termasuk Barisan Nasional yang menjadi pembangkang.

Kini di Johor kita sentiasa diingatkan oleh sikap tidak adil kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan semata-mata kerana kita pembangkang. Ini bererti perjuangan kita tidak selesai dengan hanya ada kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja.

Untuk PAS yang kerap mengadakan muktamar di Kelantan atau di markas tarbiyah di Selangor, tentunya bermuktamar di Johor akan mengingatkan kita semua bahawa Johor masih kubu kuat UMNO. Dengan itu, demi hak dan kebajikan rakyat kita mesti bertungkus lumus berusaha menumbangkan UMNO-BN melalui pilihanraya.

Saya telah hadir hampir semua majlis perasmian muktamar tahunan PAS sejak tahun 2005, iaitu selepas pulang dari pengajian saya di Australia. Malah saya hadir ke muktamar pada tahun 2005 di Kota Bharu selama tiga hari sebagai pemerhati kerana masa itu saya masih berhasrat untuk menyambung kajian akademik dalam bidang politik Islam.

Untuk makluman pembaca yang tidak mengenali saya, kajian tesis ijazah sarjana kepujian saya adalah tentang bagaimana PAS menangani politik isu Negara Islam dalam konteks masyarakat majmuk. Saya menjelaskan dalam tesis saya bahawa sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, PAS senantiasa menghadapi pilihan berikut:

A. Sama ada menjaga kepentingan penyokong tegar atau membuka ruang untuk memenangi sokongan middle ground;

B. Sama ada menjaga kepentingan kubu negeri-negeri Melayu utara-timur (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) atau meneroka sokongan baru dari semua kaum di kawasan-kawasan campuran di pantai barat Semenanjung;

C. Sama ada dipimpin oleh golongan tegar agama (purist) yang lebih selesa dengan moral high ground tanpa penghitungan politik nasional atau mereka yang berhasrat untuk mainstream-kan politik PAS (perkataan “mainstream” digunapakai oleh Allahyaham Datuk Fadzil Noor dalam beberapa ucapan beliau)

D. Sama ada mahu menegakkan dasar-dasar Islam menurut kitab (mereka yang mementingkan teks tanpa konteks) untuk pelaksanaan serta-merta tanpa mengira kesesuaian masanya atau mahu mengikut suasana (konteks berasaskan teks) secara tadarruj;

E. Sama ada PAS mahu berjuang untuk Melayu sahaja atau untuk semua.

Untuk makluman semua rakan seperjuangan PAS dari negeri lain, UMNO dilahirkan di Johor dan hanya dengan mengakhiri kekuatan UMNO di Johor barulah UMNO akan ditumbangkan di peringkat Pusat.

Johor akan menjadi medan pertarungan politik yang paling signifikan pada masa yang akan datang ini kerana UMNO akan cuba mempertahankan kekuatan sokongan dengan apa sahaja cara yang berkesan.

Cabaran di Johor berbeza dengan cabaran di negeri-negeri utara-timur di mana PAS lebih selesa dengan kawasan majoriti Melayu. Dua pertiga kerusi parlimen di Johor (18 daripada 26 kerusi) adalah kawasan campuran di mana pengundi Melayu tidak melebihi 60 peratus. Cabaran untuk memenangi hati masyarakat majmuk adalah cabaran untuk DAP dan PAS di Johor.

Akan tetapi kalau kita dapat formula yang betul di mana Melayu menerima DAP dan bukan Melayu menerima PAS di Johor, maka UMNO akan menjadi pembangkang di Johor dan seluruh negara.

Juga penting untuk makluman semua, bukan sahaja PAS memerlukan sokongan bukan Melayu di Johor, PAS juga memerlukan formula yang betul untuk memenangi hati pengundi Melayu di pantai barat secara amnya dan di Johor secara khususnya.

Apa yang berkesan di Kelantan dan Terengganu tidak semestinya berkesan di Johor dengan pengundi Melayu. Dan apa yang berkesan dengan pengundi yang sudah berusia tidak semestinya berkesan dengan pengundi muda yang semakin ramai.

Sekali lagi, selamat bermuktamar!