Rencana

RM5,900 sebulan: Kita tahu ini mengarut

 

Oleh: Steven Sim

Kata orang, ahli politik sering menipu. Tetapi selalunya mereka berikan kita statistik. Apa bezanya antara penipuan dan statistik? Kata Mark Twain, “Ada tiga jenis pembohongan; penipuan, penipuan berat dan statistik” (There are three kinds of lies; lies, damned lies and statistics).

Statistik terbaru yang dengan bangganya dipertontonkan oleh kerajaan kepada kita ialah laporan bahawa pendapatan isi rumah di Malaysia telah melepasi kadar RM5,900 sebulan. Ini dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bekas bos Maybank yang dibawa masuk ke dalam Kabinet sebagai ‘Menteri Ekonomi’. (http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1066627)

Tetapi dalam benak rakyat Malaysia mereka sedar bahawa ia mengarut belaka. Kenapa?

Kerana kebanyakan keluarga yang kita kenali, barangkali keluarga kita sendiri, memperolehi pendapatan yang jauh lebih rendah daripada RM5,900 sebulan.

Malah kerajaan sendiri pun dengan bangganya mendakwa bahawa program pemberian tunai BR1M telah memberi manfaat kepada 80% isi rumah Malaysia. Satu-satunya syarat pemberian BR1M ialah isi rumah yang menerimanya mestilah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Dan hanya pada September 2013 kerajaan menyatakan bahawa 82.5% warga muda Malaysia di bawah usia 30 tahun beroleh pendapatan RM3,000 sebulan. Bilangan ini adalah lebih daripada satu pertiga bilangan pekerja di Malaysia.

Dan menurut bancian Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012 (HIS/BA 2012), kelompok 40% terbawah dari kalangan isi rumah Malaysia memperolehi sekitar RM1,800 sebulan.

Tambahan pula, sementara laporan HIS/BA 2012 maklum bahawa purata pendapatan isi rumah Malaysia adalah RM5,000 sebulan, 50% daripada isi rumah Malaysia sebenarnya memperoleh kurang daripada RM3,626 setiap bulan.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Statistik: seni menipu secara rasmi

(Kaveat: Saya menyukai statistik kerana jika digunakan secara bertanggungjawab, ia memberikan maklumat yang berguna tentang realiti.)

‘Menteri Ekonomi’ tersebut menggunakan data HIS/BA 2014 terbaru yang belum lagi disiarkan oleh Jabatan Statistik di laman webnya. Oleh itu saya akan menggunakan data HIS/BA 2012 untuk menunjukkan bagaimana beliau dengan bijak sekali menggunakan statistik untuk memberi gambaran yang indah-indah belaka tentang pendapatan kita.

Abdul Wahid menggunakan nilai purata pendapatan isi rumah untuk menunjukkan bahawa kita sudah pun membawa pulang RM5,900 sebulan. Dalam HIS/BA 2012 seperti yang disebut tadi, pendapatan purata isi rumah adalah pada nilai RM5,000 sebulan. Ini dinilaikan dengan mengira purata jumlah pendapatan kesemua isi rumah dengan jumlah bilangan isi rumah. Seperti yang kita semua tahu, penilaian purata berfungsi dengan baik sekiranya set data yang ada adalah simetri, yakni jika semua orang mempunyai nilai pendapat yang lebih kurang sama dalam kes ini. Sebaliknya, satu atau dua nilai yang lebih besar di dalam set data tersebut akan menyimpangkan nilai purata secara signifikan daripada nilai-nilai lain. Jika Bill Gates masuk ke sebuah warung yang dipenuhi golongan pekerja, kemudian seorang menteri seperti Abdul Wahid datang melakukan bancian pendapatan di kalangan pelanggan warung, nescaya semua orang akan menjadi jutawan jika nilai purata pendapatan mereka dipersembahkan.

Sebaliknya, HIS/BA 2012 turut melaporkan bahawa nilai median pendapatan isi rumah di Malaysia hanyalah sebanyak RM3,626. Nilai media memberikan gambaran yang lebih baik untuk sebuah set data yang tidak simetrikal, iaitu set dengan nilai-nilai yang jauh berbeza antara satu dengan yang lain. Ia membahagikan set data tersebut secara sama rata kepada dua bahagian di atas dan bawah nilai median. Justeru menurut HIS/BA 2012, 50% daripada isi rumah Malaysia sebenarnya berpendapatan kurang daripada RM3,626 sebulan walaupun nilai pendapatan purata ialah RM5,000 sebulan.

Kedua-duanya nilai hasilan statistik yang sah, apa masalahnya?

Kalau anda tanyakan kepada saya, masalah dengan sikap tidak jujur seperti ini bukan sangat mengenai pembohongan kerajaan kepada kita, tetapi sikap kerajaan menipu dirinya sendiri. Dengan memuji apa yang dirasakannya pencapain cemerlangnya sendiri, kerajaan telah mencipta rasa cemerlang yang palsu, justeru menanggung risiko untuk tidak mengendahkan situasi sebenar serta usaha-usaha yang masih perlu dilaksanakan.

Sewaktu sidang parlimen pertama saya pada 2013, ‘Menteri Ekonomi’ yang sama dengan bangganya memberitahu Dewan bahawa disebabkan kadar penganggura negara berada di bawah 4%, menurut pakar ekonomi John Maynard Keynes, kita boleh dianggap telah berjaya memenuhi tuntutan tenaga kerja. Sejak dari itu, saya sering menyatakan bahawa sudut pandang memuji diri sendiri terus membutakan kerajaan terhadap keadaan sebenar sektor pekerjaan di negara ini yang pelbagai, daripada kadar pengangguran tinggi di kalangan anak muda Malaysia termasuk para graduan sehinggalah isu guna tenaga tidak penuh, kelaziman industri yang tidak adil serta diskriminasi gender dalam pasaran kerja, serta kebergantungan tinggi kepada buruh asing berkemahiran rendah dan penghijrahan keluar tenaga mahir.

Apabila seseorang dengan kedudukan ‘Menteri Ekonomi’ mengatakan bahawa kita sudah mencapai tahap pendapatan RM5,900 sebulan, kerajaan berisiko terlepas pandang masalah-masalah sebenar seperti isu gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, keberhutangan tinggi di kalangan rakyat Malaysia serta kesenjangan nilai pendapatan. Walaupun demikian banyak laporan menunjukkan wujud pertumbuhan ekonomi, kita telah gagal dalam jangkamasa 20 tahun untuk mencapai sebarang peningkatan untuk merapatkan jurang pendapatan. Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni, indeks Pekali Gini Malaysia yang mengukur jurang pendapatan (0 bermaksud saksama manakala 1 tidak saksama) berada pada kadar 0.431 pada tahun 2012, antara yang paling tinggi di rantau ini, berbanding negara seperti Thailand 0.4 dan Indonesia 0.37.
(http://www.thestar.com.my/business/business-news/2013/08/03/malaysias-income-distribution-inequality-still-high/)

Oleh yang demikian, masalah tentang menipu ini bukanlah mengenai sama ada orang lain akan percaya, tetapi adakah si penipu akan mempercayai pembohongannya sendiri.

Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam