Sastera

Bangkit sang pengkhianat

oleh: Melati Rahim

Kisah ini adalah kisah yang berlaku di planet jauh dari bumi, lagi jauh dari Matahari – planet yang dikenali sebagai planet paling bongsu di angkasa lepas, iaitu planet Pluto. Di planet Pluto terdapat satu golongan yang digelar “pelacur sakti”. Kerja mereka mudah, hanya perlu sembah dan jilat kaki manusia yang berjawatan paling tinggi, iaitu Cip.

Di antara beratusan pelacur sakti, ada seorang yang sangat dihormati, Raqib namanya. Raqib tidak belajar tinggi, hanya menghafal kitab agama, pandai membodek, dan yang penting adalah pandai membaca mantera.

Penghuni di Pluto sangat menghormati Raqib. Beliau tidaklah sekacak mana kalau dibandingkan dengan lelaki di Bumi. Tetapi kalau dibandingkan kulit dan helah, pastinya Raqib juara. Bibirnya mungil dan menjadi semakin mungil selepas beliau dilantik sebagai pelacur sakti, matanya sepet, hidungnya mancung seperti paruh burung helang. Kata-katanya seperti azimat, tidak pernah ditentang tidak pernah juga di lawan. Penduduk Pluto seakan dipukau olehnya. Jika beliau tinggal di bumi, pasti perkara pukau-memukau ini tidak aneh (masakan tidak, nak jadi isteri pengemis pun perlu ada bomoh), tetapi berlainan pula di Pluto, hanya Raqib mempunyai kuasa memukau.

Pelacur Sakti Raqib bukan sahaja seorang pelacur, beliau juga seorang pengemis. Jika di bumi, pengemis itu yang berbaju lusuh, tinggal di tepian kolam busuk dan mula digelarkan penjenayah. Di Pluto pula sebaliknya: Pengemis itu golongan yang memakai kenderaan besar, perut besar, hidung besar, baju mereka juga harganya memerlukan wang yang besar-besar, penginapannya setinggi banggunan KLCC (entah apa yang disimpan dalam rumah sebesar itu, aneh).

Namanya gah, tapi ramai yang tidak sedar, bagaimana seorang pengemis pelacur sepertinya akan memujuk penduduk Pluto setiap 5 tahun meminta agar diberi kepercayaan, disogoknya penduduk dengan pemberian makanan, pakaian dan wang yang sangat besar sehingga mampu dibuat tilam, empuk. Namun, selepas selesai hari perwatikahan jawatan, semua pengemis akan bermesyuarat dan memerah otak memikirkan cara untuk merampas semula wang yang kononnya bantuan untuk penduduk Pluto.

Rumah penduduk di Pluto tidak besar, kediaman penduduknya yang kaya sama besar dengan kediaman rakyat miskin di bumi (bersyukurlah kita bukan dari Pluto). Semua pengemis di Pluto kelihatan sangat ramah dan malaikat – itu sebenarnya sandiwara mereka sahaja dan pihak perutusan yang memang tugasnya menyampaikan berita-berita yang hanya berpihak kepada golongan pengemis. Planet Pluto ini sebenarnya indah khabar dari rupa. orang-orang berjawatan tertinggi itu sering mendabik dada berkata negara mereka negara aman tanpa jenyah, mungkin mereka lupa bahawa merekalah kepala segala jenyah.

Penduduk di Pluto tak ramai yang bijak, boleh dikira dengan jari. Mereka yang bijak digelar sebagai BISU, mungkin kerana suara mereka tak kuat dan terlalu kecil bilangan yang ingin mendengar suara mereka. Jika ada 6 juta penduduk yang mendengar kata-kata mereka, hanya 6 sahaja yang akan buka mata dan menyokong. Namun yang menyokong akan menyokong secara BISU.

Semua yang taat pada pengemis pula berkumpul atas satu organisasi yang digelarnya Himpunan Angkatan Pengemis (HAMIS). Dalam kelab HAMIS hanya ada satu sahaja matlamat dan tugas: JILAT KAKI PENGEMIS. Kaki yang sering dijilat oleh mereka pastinya Raqib, kerana beliau pandai agama, pandai berbicara, dan pandai menawan hati para belia. Tidak lupa juga kaki pemerintah paling tinggi.

Pada suatu hari, seorang lelaki yang tidak belajar di mana-mana, hanya pemerhati segala jenis helah para pengemis mula bangkit. Beliau melakukan sesuatu yang luar biasa, iaitu meludah ke awan yang memaparkan gambar Raqib. Perbuatannya aneh. Meludah ke awan hanya mengotorkan wajah sendiri, namun dia tidak pernah berhenti. Orang sekeliling yang mulanya tidak meghiraukan perbuatannya mula berasa aneh. Lalu mereka bertanya kepada pemuda tersebut, Bangkit namanya.

“Tidakkah kau rasa perbuatanmu bodoh wahai anak muda?”

Bangkit menggeleng.

“Mengapa kau meludah kewajahmu sendiri?”

“Aku meludah sang pengemis, bukan diriku,” kata Bangkit dengan bangga.

“Mengapa?” tanya mereka kepada Bangkit dengan wajah kehairanan.

“Kerana sudah tiba masa kita berhenti diperbodohkan oleh sang pengemis. Tidakkah kau berasa aneh melihat jurang rumahmu yang hanya sebesar kotak mancis manakala rumah sang pengemis itu mampu mencakar langit pluto? Tidakkah kau rasa aneh, kita yang punya kuasa ini disuruh menjilat manakala mereka yang bekerja untuk kita memaksa kita untuk menjadi patung?”

Orang sekeliling yang mendengar mula terdiam, mereka berjalan perlahan-lahan sambil berfikir. Malam itu, ramai di antara mereka tidak mampu tidur dengan tenang. Fikiran mereka diganggu oleh kata-kata Bangkit.

Keesokan harinya, ramai penduduk pluto mencari Bangkit namun gagal. Pertanyaan dan semangat penduduk Pluto mati dari sehari ke sehari. Hampir 20 tahun sejak kejadian tersebut, kini golongan BISU semakin berkurang dan mati. Yang tinggal hanyalah golongan HAMIS. Rakyat pula semakin bodoh dan terus diperbodoh.
Manakala dalam mahligai seorang Cip, terdapat satu tugu berdiri kaku yang telah diawet dengan pengenalan kata:

“BANGKIT, SANG PENGKHIANAT”

*Melati Rahim ialah penulis novel ‘Pelacur Kelas Pertama’, aktivis sosial dan ahli DAP.