Berita

Kerajaan rancang bina dua loji nuklear, Pulau Pinang negeri pertama tolak

GEORGE TOWN, 14 SEPT: Kerajaan Pulau Pinang adalah negeri pertama di negara ini yang menolak sebarang cadangan untuk membina loji janakuasa nuklear, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Berucap pada pelancaran Karnival XOX Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 pagi ini, Guan Eng turut menggalakkan orang ramai untuk menandatangani petisyen bantahan mulai daripada hari ini.

“Walaupun bekalan tenaga bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kami amat mengambil berat tentang pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Kerajaan Persekutuan bercadang membina dua loji kuasa nuklear di Malaysia, (dan) kami adalah negeri pertama yang menolak cadangan itu.

“Kami berharap kawasan lain di Malaysia akan selamat dari risiko loji kuasa nuklear. Anda boleh menyokong kami dengan menandatangani petisyen hari ini,” kata Guan Eng.

Katanya, pilihan peribadi dan gaya hidup memberikan kesan besar keatas alam sekitar dan perubahan iklim .

Justeru Guan Eng menggesa rakyat Malaysia menyokong usaha pengembangan teknologi hijau dengan menguruskan sumber, bahan sisa, sumber air dan tenaga dengan cara yang bijak dan cekap.

“Jika anda ingin memastikan kemampanan alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk anak-kanak kita, anda tidak mempunyai pilihan lain tetapi menghadapi cabaran perubahan iklim bersama-sama.

“Ayuh cari jalan penyelesaian, dan andalah jalan penyelesaiannya,” ujar Guan Eng.

Karnival XOX Hijau Antarabangsa Pulau Pinang adalah program yang julung kali diadakan di negeri ini bersama lebih 90 syarikat antarabangsa dan tempatan selain pertubuhan alam sekitar bertujuan berkongsi pengalaman dalam menghadapi perubahan iklim melalui pengurusan tenaga, air dan bahan buangan.

Pulau Pinang antara negeri terawal yang menggalakkan kempen ‘sifar bahan buangan’ telah mengadakan kempen pengurangan penggunaan beg plastik di pasar raya semenjak 2009.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri menyasarkan tahun 2013 Pulau Pinang mencapai kadar kitar semula 30 peratus, dijangka melebihi sasaran kadar 20 peratus kitar semula negara menjelang tahun 2020. – Roketkini.com