Berita

Kit Siang: Tubuh RCI siasat kertas soalan UPSR bocor

PAGOH, 14 SEPT: Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, bukan sahaja kekerapan kebocoran kertas peperiksaan, tetapi RCI yang dicadangkan bertujuan menyiasat semua aspek punca penurunan  standard di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti di Malaysia.

“Masanya telah tiba untuk siasatan menyeluruh keatas kebocoran kertas soalan peperiksaan STPM, SPM dan UPSR yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan sistem peperiksaan dan pendidikan.

“Ini adalah petanda sistem urustadbir yang korup, daripada buruk menjadi lebih buruk,” kata Kit Siang dalam sebuah dialog bersama ahli DAP di Pagoh, semalam.

Tegasnya, penubuhan RCI bukan sahaja bagi menyiasat kebocoran kertas peperiksaan awam yang kerap kali berlaku, malah bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh sistem pendidikan oleh sebuah badan yang bebas dan berpengetahuan.

Tambah Kit Siang, isu kebocoran kertas peperiksaan UPSR tersebut adalah perkara yang sangat memalukan, lebih-lebih lagi ketika Muhyiddin sedang menghadiri persidangan Menteri-menteri Pendidikan ASEAN ke-8 di Vientiane, Laos.

“Ini menyebabkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran mendakwa bahawa kebocoran kertas peperiksaan itu sengaja dilakukan untuk mensabotajnya secara peribadi dan Kementerian Pendidikan,” kata Kit Siang.

Kementerian Pendidikan minggu lalu mengumumkan ujian semula matapelajaran Bahasa Inggeris dan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR tahun ini kepada 30 September akibat kebocoran kertas peperiksaan.

Muhyiddin turut mengumumkan penggantungan sementara dua pegawai kanan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr Na’imah Ishak dan Dr Wan Ilias Wan Salleh kerana mencemarkan imej kementerian.

Dr Na’imah Ishak membuat laporan polis berhubung kertas soalan tersebut di IPD Putrajaya Jumaat lalu, manakala semalam enam pegawai LPM diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Tambah Kit Siang, kenyataan Muhyiddin bahawa pihak Kementerian Pelajaran akan menyiasat kebocoran kertas soalan peperiksaan UPSR dan membawa pelaku kesalahan ke muka pengadilan hanyalah kerana dia ‘dimalukan’ di hadapan Menteri-menteri pendidikan ASEAN.

“Sedangkan dia (Muhyiddin) tidak pernah serius sebagai Menteri Pelajaran mengenai kebocoran kertas peperiksaan,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com