Berita

‘U-turn’ Akta Hasutan, wasatiyah Najib dan 1Malaysia sampai ajal

KUALA LUMPUR, 14 SEPT – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah tiga kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, namun janji tersebut musnah bersama janji-janji kerajaan Barisan Nasional yang dimungkiri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ‘pusingan-u’ Najib Razak adalah petunjuk bahawa Perdana Menteri menjadi tebusan golongan ektremis dan sememangnya seorang pemimpin yang memungkiri janji.

“Kenyataan Najib semalam yang mengambil langkah ke belakang dari komitmen asalnya untuk memansuhkan Akta Hasutan yang pertama kali disebut pada 2012 adalah suatu pemberian yang menyedihkan di ambang negara menyambut Hari Malaysia ke 51,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tindakan Najib itu adalah petanda sampainya ajal slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan, bersekali dengan gerakan moderat yang dibawanya.

“Bukan sahaja membuktikan beliau telah menjadi tebusan para ekstremis dan pemimpin yang tidak menepati janji, malah menandakan ajal 1Malaysia dan gerakan moderatnya.

“Tidak hairan Najib baru-baru ini membuat keputusan untuk mewujudkan satu lagi laman web peribadi untuk menjauhkan diri dari laman web sebelum ini, www.1malaysia.com.my, yang nampaknya tercemar dengan rantaian janji yang telah dimungkiri,” ujar Guan Eng.

Tiada hormat kepada kedaulatan undang-undang

Menurutnya lagi siri pendakwaan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, pensyarah undang-undang Azmi Sharom serta siasatan terbaru terhadap peguam Edmund Bon, menunjukkan wujud pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara.

“DAP mengecam keras tindakan sedemikian yang bermotifkan politik kerana tiada pula tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau pemimpin Umno yang membuat kenyataan yang berbaur hasutan terhadap orang bukan-Melayu dan bukan-Islam.

“Jika Azmi Sharom, seorang pensyarah undang-undang boleh dituduh menghasut kerana memberikan pendapat ilmiahnya, tidak ada harapan lagi terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia,” tegas beliau.

Najib berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dua tahun lalu dalam sebuah ucapan di majlis makan malam Jabatan Peguam Negara, dan kemudian mengulanginya dalam sebuah wawancara bersama rancangan BBC World News pada 2 Julai 2013.

Janji tersebut diulang semula pada 6 September 2014, yang sebelum itu dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Jelas sekali sikap ‘flip-flop’ Najib ini menunjukkan beliau tidak mampu bersemuka dengan para ekstremis yang mahu supaya terlantiknya sebuah kepimpinan diktator dengan kuasa autoritarian demi mencabul hak asasi manusia,” jelas Ahli Parlimen Bagan itu. – Roketkini.com.