Berita

Dasar baru perlu dibentuk, kembalikan hak negeri Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER: Dasar ekonomi Barisan Nasional (BN) hanya memihak kepada kroni, bukannya kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, dasar yang hanya menguntungkan sebilangan pihak itu perlu diubah supaya kekayaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat..

“Kemiskinan, kehidupan tanpa kemudahan asas – air, elektrik, masalah rasuah dan salah guna kuasa di Sabah dan Sarawak tidak boleh diterima.

“Kekurangan sekolah, guru-guru yang baik dan (masalah) sambungan internet tidak lagi boleh diterima.

“Sumber semulajadi seperti tanah, kayu, tidak boleh dikuasai segolongan pihak,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia, hari ini.

Guan Eng menyatakan, semua masalah tersebut boleh diatasi dalam tempoh lima tahun jika kekayaan sumber negeri dapat diberikan kepada pemilik sebenarnya iaitu rakyat.

“Dasar-dasar baru yang memberi manfaat perlu dibuat untuk menggantikan dasar lama yang hanya memihak kepada kroni BN,” ujarnya.

Katanya, dasar baru yang dicadangkan harus berbeza dan bertujuan mengangkat pengupayaan moral, nilai-nilai keadilan dan kebebasan.

“Dengan memberi tumpuan kepada moral dan nilai-nilai universal, ia bukan saja boleh menyatukan rakyat, tapi dapat hidup dengan bermaruah ke arah masa depan lebih cerah,” ujarnya. -Roketkini.com