Berita

Iskandar Malaysia mangsa pertama ‘perang’ kenaikan tol Malaysia-Singapura

KULAI, 15 SEPT: Adun Senai Wong Shu Qi berkata, wilayah pembangunan Iskandar Malaysia akan menjadi mangsa pertama akibat ‘perang’ kenaikan tol diantara Malaysia dengan Singapura.

Beliau menyeru pimpinan kerajaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar segera menyelesaikan masalah yang tidak memberi sebarang manfaat, malah menyusahkan rakyat.

“Mengapa isu ini tidak dibincang atau dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara?

“Adakah Najib dan kabinetnya mahu menarik pelabur atau memusnahkan Iskandar Malaysia?

“Tidak ragu-ragu lagi Iskandar Malaysia akan menjadi mangsa pertama ‘perang’ kenaikan tol yang tidak sihat ini,” kata Shu Qi dalam kenyataannya hari ini.

Kata Shu Qi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM ) sebelum ini mengumumkan kenaikan tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) selepas pihak berkuasa Singapura menaikkan kadar VEP (Permit Masuk Kenderaan) memberi kesan kepada kenderaan Malaysia

“Kenaikan tol EDL memberi kesan kepada semua pengguna kecuali penunggang motosikal.

“Ini menyebabkan menimbulkan tanda tanya apakah ia sebenarnya adalah ‘serangan’ balas kepada Singapura?

“Walaupun ia bukan \’serangan’ balas, amat luar biasa sekali kenaikan tol EDL diumumkan hanya beberapa hari sebelum dilaksana,” ujarnya.

VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang memasuki Singapura dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari, berkuatkuasa 1 Ogos.

Manakala kerajaan Malaysia menaikkan kadar tol EDL bagi kenderaan pelbagai kelas mencecah 870 peratus.

Justeru, Shu Qi mendesak kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi EDL secepat mungkin kerana punca sebenar masalah dihadapi sekarang aberpunca dari terma kontrak dan bayaran tol yang tidak munasabah.

Tambahnya, sikap kerajaan juga telah mengecewakan rakyat kerana tidak disusuli dengan langkah meningkatkan perkhidmatan awam.

“Persaingan kenaikan tol Malaysia dan Singapura secara literalnya ‘membunuh’ orang ramai yang tentunya akan menggunakan motosikal untuk menjimatkan wang,” ujarnya. -Roketkini.com