Berita

Jangan malas, cetak kertas UPSR di UK bukan penyelesaian

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Cadangan mencetak kertas UPSR berikutan kes kebocoran soalannya baru-baru ini disifatkan sebagai cadangan malas, mengarut dan membazir.

Menempelak cadangan terbabit yang disifatkannya dangkal, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya berkata ia tidak pun menangani masalah kebocoran soalan peperiksaan tersebut.

“Isunya bukan di mana kertas peperiksaan dicetak; tetapi bagaimana soalan-soalannya bocor, siapa yang terlibat dan apa sebab pihak-pihak yang terlibat berbuat demikian,” katanya.

“Jika cadangan sebegini pun boleh dipertimbangkan, tidak hairan lah bagaimana tugas mudah menyimpan rahsia soalan peperiksaan pun tidak dapat dilaksanakan,” tambah beliau.

Kes kebocoran soalan peperiksaan UPSR baru-baru telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, terutamanya ibu-bapa calon-calon peperiksaan tersebut yang tidak menyangka perkara sedemikian boleh berlaku.

Ekoran itu, timbul cadangan untuk mencetak kertas peperiksaan tersebut di luar negara.

Alasan projek baru

“Takkanlah kes soalan bocor pun mahu dijadikan alasan untuk mencipta peluang mewujudkan projek baru. Cadangan mencetak kertas soalan di UK adalah cadangan pemalas,”

“Cuba jangan iyakan dakwaan Tun Dr Mahathir. Usahalah lebih sedikit dan berikan cadangan yang lebih bernas, dan bukan cadangan pemalas,” tambahnya menyindir.

Menurutnya persoalan utama dalam hal ini bukanlah soal lokasi percetakan kertas peperiksaan tetapi sebenarnya ialah soal integriti penjawat awam. Bagi beliau. sekiranya sikap tidak amanah telah membarah di kalangan penjawat awam, tidak timbul soal lokasi cetakan.

“Integriti harus dibina dari dalam kementerian dan agensi-agensinya dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab,”

“Heret mereka ke mahkamah atas pertuduhan jenayah dan sumbat mereka ke penjara memandangkan tindakan memecat orang seperti ini nampaknya tidak memberikan kesan,” tegasnya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan mendedahkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab di sebalik kes kebocoran ini dan kenapa ia berlaku.

“Itulah yang sepatutnya. Bukan buat keputusan mudah sang pemalas dengan mencadangkan supaya kertas peperiksaan dicetak di UK.” – Roketkini.com