Berita

MRCB perlu sedia bas percuma antara CIQ Johor dengan Woodlands – ADUN Senai

JOHOR BAHRU, 15 SEPT: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) perlu menyediakan bas ulang-alik percuma kepada penumpang antara CIQ Johor Bahru dengan pusat pemeriksaan Woodlands di Singapura, kata ADUN Senai, Wong Shu Qi.

“Pemegang konsesi to itu perlu menyumbang sekurang-kurangnya RM1 juta sebulan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di tambak Johor dengan menggalakkan pengguna kereta bertukar pilihan kepada pengangkutan awam, ” katanya dalam satu kenyataan.

MRCB melalui anak syarikatnya MRCB Southern Link Bhd memegang konsesi tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) selama 34 tahun selepas pembinaannya selesai pada 2012.

Kerajaan pada 2012 mengambilalih EDL dengan membayar pampasan kepada MRCB sebanyak RM68 juta bagi tempoh April- Disember 2012 dan bayaran RM11 juta sebulan selama tempoh perjanjian konsesi penswastaan.

Dalam pada itu Shu Qi mengalu-alukan pengumuman Exco Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Datuk Tee Siew Kiong bahawa kerajaan negeri akan meminta KTM melaksana perkhidmatan kereta api bagi setiap jam antara stesen Woodlands Singapura dengan Johor Bahru Sentral.

“Walaupun pengumuman ini selepas sebulan keributan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat , adalah lebih baik ia dilakukan daripada tiada tindakan langsung oleh pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, penduduk di bahagian selatan negeri ini mungkin masih ingat perkhidmatan ‘railbus’ Kulai-Tanjung Pagar yang disediakan KTM pada tahun 80-an dan lewat 90-an.

“Perkhidmatan ini mendapat sokongan menggalakkan terutama bagi pengguna yang setiap hari ke tempat kerja dan sekolah. Namun, operasinya dihentikan pada lewat tahun 90an.

“Orang ramai kemudiannya terpaksa bergantung kepada kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja,” ujarnya.

Shu Qi yang juga Pengarah Polisi DAP Johor berkata, dengan lebih 200,000 penumpang berulang-alik setiap hari di antara Malaysia dengan Singapura, apa sahaja jenis perkhidmatan pengangkutan yang cepat dengan kos yang murah mempunyai potensi berdaya maju.

“Penduduk di Kulai, Senai, Skudai dan Kempas akan mendapat manfaat secara langsung. Jika tidak, kita hanya sekadar memindahkan kesesakan trafik dari Tambak Johor ke pusat bandaraya Johor Bahru.

“Ini kerana orang ramai masih perlu memulakan perjalanan dengan menggunakan kenderaan lain,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan bukan sahaja perlu meningkatkan perkhidmatan kereta api antara Johor Bahru Sentral dengan Woodlands di Singapura, tetapi mengembangkannya menjadi rangkaian perkhidmatan rel yang komprehensif di antara kedua negara. – Roketkini.com