Wawancara

Hari Malaysia: Tak kenal Pakatan, maka tak cinta

Rakyat Malaysia di Semenanjung perlu memahami bahawa penduduk di Sabah dan Sarawak bukan sahaja telah lama terpinggir, tetapi merasakan telah dianiaya terlalu lama oleh kerajaan Pusat BN, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bagi mengubat perasaan marah dan terluka yang kemudian dipamer melalui sikap segelintir penduduk Sabah dan Sarawak dengan sikap ‘anti-Malaya’ yang bernakna anti-Semenanjung, maka kini menjadi peranan kepada Pakatan Rakyat menghulur salam persahabatan bagi membetulkan salah sangka rakan dan keluarga di Malaysia Timur itu.

“Kita kena faham bahawa mereka merasakan bukan sahaja terpinggir, tetapi dianiaya. Misalnya, hasil minyak dan gas membolehkan pembinaan jalan raya di Semenanjung, tetapi lebuh raya Pan-Borneo masih berlum disiapkan.

“Jadi siapa yang tidak marah? Kalau kita orang Sarawak pun, kita akan berasa marah,” kata Guan Eng dalam temubual bersama Roketkini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, BN gagal mentadbir Sabah dan Sarawak sehingga menyebabkan rakyat di kedua negeri terkaya itu ketinggalan dari sudut ekonomi dan pendidikan.

Lebih mendukacitakan BN menjadi punca sentimen anti-Semenanjung dikalangan rakyat di kedua negeri itu yang secara pukul rata menyalahkan orang Semenanjung sebagai punca kemunduran di negeri mereka.

Justeru kata Guan Eng sambutan Hari Malaysia tahun ini sangat signifikan, apatah lagi selepas setahun pilihan raya umum ke-13 dan dijangkakan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan tahun hadapan.

Guan Eng menyeru rakyat di Sabah dan Sarawak menilai semula prestasi BN di negeri mereka dan melihat Pakatan Ralyat sebagai rakan baru yang boleh dipercayai.

“Ada orang kata, lebih baik kita pilih ‘syaitan yang dikenali’ berbanding ‘malaikat yang tak dikenali’. Pandangan ini salah. ‘Malaikat’ tidak akan melakukan kemungkaran,” kata Guan Eng membidas hujah pemimpin BN untuk kekal memilih parti itu.

“Kalau tak kenal (Pakatan), maka tak cinta. Selepas dah kenal, mesti jatuh cinta,” katanya.

Dalam pada itu kata Guan Eng turut mengalu-alukan rakyat Sabah dan Sarawak menyemak secara terperinci dasar, program dan pencapaian Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang.

Malah kata Guan Eng, kerajaan Pulau Pinang turut menganjurkan Hari Kaamatan dan Hari Gawai sebagai tanda solidariti Pulau Pinang kepada penduduk di Sabah dan Sabah dalam semangat bersama Persekutuan Malaysia.

WIRA3078“Program ini ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Kira-kira 5,000 anak Sabah dan Sarawak hadir dalam program yang pertama kali dianjurkan,” kata Guan Eng memaklumkan komitmen kerajaan negeri untu menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan.

Ketika ditanya potensi DAP sebagai parti pilihan dalam pilihan raya negeri yang dijangkakan tahun depan, Guan Eng tidak menolak kemungkinan BN akan menggunakan taktik termasuk memperalat ‘parti tempatan’ untuk membakar sentimen kenegerian dengan tujuan akhir menolak parti-parti Pakatan Rakyat.

“Itu memang taktik lama BN. Namun yang penting kita kena buat kerja. Jangan omong kosong sahaja. Sebab itu kita jelmakan projek Impian Sarawak, Sabah dan Malaysia. Kena buat kerja. Tak buat kerja, jangan harap dapat kemenangan,” tegasnya.

Menyatakan pendirian jelas DAP Guan Eng berkata, rakyat Sabah dan Sarawak wajar mempertimbangkan sebarang idea berhubung kedudukan kedua negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya masih percaya dan yakin dengan prinsip Malaysia dan Persekutan hanya wujud dengan adanya Sabah dan Sarawak.

“Sekiranya makna konsep ini hendak diupayakan semula, kita wajar memastikan keadilan dan kesaksamaan ekonomi dan sosial, mengangkat martabat hidup rakyat dan mengurangkan beban mereka. Ini yang mahu kita betulkan. Ini yang mahu kita mulakan,” katanya. – Roketkini.com