Berita

Perkelahan Rakyat meriah, semarak mesej perpaduan

PETALING JAYA, 16 SEPT: Semua rakyat sepatutnya dilayan sama rata sebagai warganegara dan bukannya dihumban ke penjara, kata Penaung Negara-Ku Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Apa yang kita semua mahukan adalah sebuah kerajaan yang dapat menjaga warganya.

perkelahan_rakyat3“Bukan kerajaan yang meletakkan rakyat di penjara hanya kerana menyatakan pendapat,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas dalam program Perkelahan Rakyat di Taman Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan kerajaan BN yang mendakwa beberapa pemimpin pembangkang, aktivis dan ustaz di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengkritik pentadbiran huru-hara mereka.

Mantan Presiden Majlis Peguam Negara itu menyatakan kekesalannya dengan sikap pemerintah yang bukan sahaja membawa imej buruk kepada negara tetapi turut memadamkan segala kenangan indah warganya di Malaysia.

“Kehadiran anda di sini adalah bukti bahawa kita semua mahu hidup bersama. Setiap ibu-bapa mahukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka iaitu masa depan cerah dalam sebuah negara yang aman dan harmoni,” ujarnya.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pemandu Negara-Ku Zaid Kamaruddin pula menegaskan, kehadiran masyarakat dari semua lapisan masyarakat dalam ‘perkelahan rakyat’ adalah bukti bahawa warga Malaysia boleh bersama.

perkelahan_rakyat2“Kita perlu mengambil apa jua langkah untuk memulihkan hubungan antara satu sama lain dan hari ini (Hari Malaysia) adalah saatnya berbuat demikian.

“Kita juga perlu menolak apa saja tindakan yang memberi kesan kepada semangat perpaduan,” ujarnya.

Hadir sama pada program ‘Perkelahan Rakyat’ anjuran Negara-ku ialah Sasterawan Negara, datuk A Samad Said.

Beliau turut menyampaikan ucapan dan membacakan dua puisinya yang bertajuk Di Atas Padang Sejarah serta Di Atas Padang Sejarah 2.

Lebih 100 peserta yang terdiri dari pelbagai kaum dan peringkat umur menghadiri Perkelahan Rakyat pagi tadi.

Antaranya adalah Pensyarah Undang-Undang Dr Azmi Sharom, aktivis masyarakat Haris Ibrahim, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Masjaliza Hamzah, para peguam, aktivis masyarakat dan penduduk setempat.

Menurut Negara-ku, Perkelahan Rakyat sempena Hari Malaysia ini diadakan dengan tujuan untuk menyebar mesej perpaduan dan menyatukan masyarakat.

Seawal jam 8 pagi lagi ada diantara mereka telah hadir bersama kenalan, keluarga dan jiran tetangga dengan membentang tikar, menghidangkan pelabagai makanan kegemaran rakyat Malaysia antaranya nasi lemak, kuih muih.

Program sanrtai ini diakhiri dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu Melayu tradisional Rasa Sayang. -Roketkini.com