Berita

Berjuang mansuh Akta Hasutan, tindakan patriot yang cintakan negara – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Perjuangan untuk memansuhkan Akta Hasutan yang dilakukan oleh Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) adalah tindakan patriot yang cintakan negaranya, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia negara paling demokratik di dunia musnah selepas bertindak menyiasat dan mendakwa hampir 20 ahli politik Pakatan Rakyat, ahli akademik, wartawan, aktivis dan penceramah bebas.

“Kita bersatu padu menyokong kempen untuk memansuhkan Akta Hasutan. Adakah kita berkumpul disini kerana melakukan jenayah? Tidak.

“Kita berkumpul disini kerana kita adalah patriot, yang cintakan negaranya,” kata Kit Siang dalam ucapannya sempena pelancaran GHAH di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Kit Siang berkata, beliau hairan dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini bahawa tulisannya berhubung kematian Teoh Beng Hock berbaur hasutan.

“Orang yang membuat tuduhan itu bukan orang biasa, tetapi Ketua Polis Negara. Saya tak tahu sama ada saya akan didakwa di bawah Akta Hasutan, tapi apa kesalahan saya?” soal Kit Siang.

Kit Siang sebelum in mempersoalkan mengapa pihak yang terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap dalam artikelnya ‘Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock’ yang diterbitkan laman web The Rocket 16 Julai lalu.

Rentetan itu, keterangan beliau diambil pada 4 Ogos lalu oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Shah Alam diketuai ASP Wan Tiew Kwang.

Kit Siang kemudiannya menyarankan Khalid membaca semula laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu tersebut yang jelas membayangkan kematian Beng Hock berpunca daripada pegawai SPRM.

Laporan RCI itu mendapati pegawai SPRM telah bertindak secara sewenang-wenangnya dan mengabaikan undang-undang, menyebabkan kematian Beng Hock dan kemudian berpakat untuk menutup kebenaran dengan memberikan bukti palsu.

Namun, sehingga hari ini Khalid gagal menjelaskan mengapa pihak polis masih belum menjalankan siasatan terhadap pegawai SPRM terbabit.

Dalam pada itu, secara berseloroh Kit Siang turut bertanyakan kepada kira-kira 500 hadirin di KLSCAH pada pelancaran GHAH sama ada mereka bersetuju dengan pandangannya seperti ditulis dalam artikel tersebut.

“Anda setuju (dengan pandangan saya)? Anda juga bersalah kerana menghasut,” jawab Kit Siang disambut tepukan gemuruh hadirin.

Tambahnya, siri penyiasatan dan dakwaan oleh kerajaan terhadap puluhan ahli politik dan aktivis dibawah Akta Hasutan adalah yang terburuk selepas Operasi Lalang pada 1987 ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

“Bezanya sekarang ini kita ada suara rakyat dan kuasa rakyat. Apa yang berlaku adalah pencabulan terhadap kebebasan. Kita perlu tunjukkan kuasa rakyat untuk mempertahankan negara,” ujarnya. – Roketkini.com