Berita

Pemberdayaan wanita bukan sekadar ‘Kelab 30 Peratus’

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Cadangan kerajaan untuk menubuhkan ‘Kelab 30 Peratus’ di Malaysia bagi meningkatkan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan disambut baik, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching

Namun tegasnya, usaha kerajaan itu tetap tidak dapat menafikan kadar penyertaan tenaga pekerja wanita di negara ini yang masih antara terendah di Asia Timur.

“Menubuhkan ‘Kelab 30 Peratus’ adalah satu usaha yang baik, tapi lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan penyertaan wanita.

“Kadar penyertaan tenaga kerja wanita telah meningkat daripada 46.8 peratus pada tahun 2010 kepada 52.4 peratus pada 2013.

“Walaupun kita mencapai sasaran untuk meningkatkannya kepada 55 peratus pada 2015, ia tetap menjadikan Malaysia antara yang terendah di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan Kelab 30 Peratus bagi meningkatkan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP menyatakan, antara punca kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak yang berpatutan dan berkualiti di negara ini antara punca sebab mengapa ramai wanita memilih tidak bekerja.

“Walaupun pelan hala tuju untuk memanfaat bakat wanita telah dibangunkan pada tahun 2011, tapi sehingga 31 Julai tahun ini, hanya 26 pusat jagaan harian berdaftar di syarikat-syarikat swasta yang menjaga 929 kanak-kanak.

“Pusat jagaan harian yang disediakan untuk kakitangan awam di seluruh negara pula hanya berjumlah 115. Sebab itu kerajaan perlu mengkaji semula dengan segera usaha meningkatkan akses kepada penjagaan kanak-kanak,” ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar mengkaji semula dasar pelepasan ibu-bapa, yang mana memberikan wanita menerima 60 hari cuti bersalin dalam sektor swasta, manakala lelaki tidak mendapat sebarang manfaat.

“Ini mungkin akan mengurangkan insentif majikan untuk mengambil pekerja-pekerja wanita kerana kos tambahan mengupah wanita, terutamanya di kalangan yang berusia lebih muda.

“Untuk mengatasi masalah ini, negara-negara seperti United Kingdom, Norway, Sweden dan Iceland telah menerima pakai dasar perkongsian pelepasan ibu-bapa.

“Saya memohon BN dan Pakatan untuk bekerjasama memperkenalkan dasar-dasar keseimbangan kerja serta kehidupan supaya ia memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya. – Roketkini.com