Rencana

Kertas bocor UPSR: Kemegahan yang hampa

Semua tahu bahawa sang maharaja tidak mengenakan sebarang pakaian, namun hanya kenaifan si anak kecil dapat mengatakan bahawa sang maharaja itu sememangnya berbogel. Anak itu telah mendedahkan kebobrokan dalam masyarakat kita hanya dengan menunjukkan bahawa kemegahan kita selama ini sebenarnya hampa.

Kes soalan peperiksaan UPSR yang bocor baru-baru ini tentunya bukan perkara baru. Saya sudah mendengarnya ketika saya sendiri mendudukinya, beberapa dekad lalu. Semua tahu yang soalan peperiksaan dibocorkan dengan apa cara sekalipun. Bukan hanya UPSR, tetapi juga peperiksaan awam lain, sehinggalah ke peringkat kolej dan universiti.

Pelajar dan ibubapa mencari di setiap celah untuk melihat, walau sekejap, apakah bentuk soalan peperiksaan yang bakal diduduki. Ada yang memberitahu wujud pusat tuisyen tertentu yang sentiasa berjaya ‘meneka soalan’, seolah-olah ada rumus khusus berhubung proses rawak menyusun set-set soalan yang tidak terhingga kebarangkaliannya.

Jadi, ia bukanlah isu baru, tetapi mengapa semua orang melatah kali ini? Dan ia hanya UPSR, kan?

Gejala kepada kebobrokan lebih parah dalam masyarakat

Peperiksaan sepatutnya menjadi sejenis penilaian terhadap kebolehan intelektual anak-anak kita selepas satu tempoh persekolahan (walaupun dengan segala kecacatan sistem pendidikan). Namun ia telah merudum sebagai penilaian kepada keseluruhan harga diri mereka: gred A, insan yang baik; gred B, insan yang teruk. Ia memberi tekanan kepada ibu-bapa dan pelajar untuk cemerlang, walau dengan apa cara sekalipun.

Dan kisah ini hanya jadi lebih menyedihkan.

Masalah ini lebih dalam daripada kegagalan sistem pendidikan kita semata-mata. Bagaimana kalau sebahagian kita mampu untuk membeli taraf ‘insan yang baik’ untuk anak-anak mereka? Walau dengan apa cara sekalipun.

Sarjana keadilan dan etika dari Universiti Harvard Michael J Sandel menghantar pertanyaan, ‘Apakah yang tidak boleh dibeli dengan wang’ kepada masyarakat di mana tanda harga diletakkan kepada hampir setiap perkara. Dalam kes membeli kertas peperiksaan bocor, jelas ia adalah tidak bermoral. Namun Sandel juga menyatakan bahaya ‘kecenderungan pasaran yang menghakis’ yang lebih luas:

“Kerana pasaran bukan hanya memperuntukkan barangan; ia juga menyatakan dan mempromosi sikap tertentu terhadap barang yang ditukarkan. Membayar kanak-kanak untuk membaca buku mungkin akan menyebabkan mereka membaca lebih banyak, namun ia juga mengajar mereka untuk melihat membaca sebagai satu tugas, bukannya sumber kepuasan intrinsik…

…Sebahagian perkara baik dalam hidup dirosakkan, atau direndahkan nilainya jika ia dijadikan dagangan…kita perlu menetapkan bagaimana untuk menilai perkara seperti kesihatan, pendidikan, kehidupan keluarga, alam, seni, tugas sivik dan lain-lain. Ini adalah persoalan politik dan moral, bukan ekonomi semata.”

Dalam keadaan sebegini, di mana wang boleh membeli hampir segalanya, pembohong yang menjadi tukang tenun ‘baju baru’ diberikan darjah kebesaran, dan menteri dan pegawai yang curang menerima anugerah daripada sang maharaja, sementara pemimpin masyarakat yang membisu terlepas daripada kemarahan kerajaan.

Tidak mengejutkan, salah satu alat untuk mengekalkan kebisuan dalam isu ini serta kemungkaran lain oleh kerajaan dinamakan (secara tepat) sebagai Akta Rahsia Rasmi.

Terbongkar: Tiada makna pada ‘A’

Berdekad lalu, rakyat hanya berbisik sesama sendiri tentang kertas peperiksaan yang bocor. Segalanya adalah rahsia. Soalan-soalan disimpan di bawah bumbung pusat tuisyen, atau di rumah pemimpin kanan, sama ada seorang Dato’ atau pegawai yang memiliki keistimewaan. Ia cukup rahsia, hanya boleh dilihat oleh mereka yang terpilih. Dan seperti baju baru sang maharaja, ia bukan untuk mereka yang ‘tidak layak memegang jawatan atau luar biasa bebal, dengan kata lain, hanya golongan elit yang dapat mencapainya.

Namun apabila perkara itu tersebar luas di media sosial, berkecailah rahsia yang melindungi kemerosotan masyarakat kita. Sama ada dosa itu milik menteri, pegawai, bangsawan atau pemimpin masyarakat, ia kini terpampang di hadapan mata semua. Kebanggaan yang dicanangkan tentang sistem kini telah dibongkar sebagai tidak lebih daripada wayang umum. (Tidak hairan apabila sang maharaja sentiasa ingin mengharamkan media sosial.)

Selepas ia tersebar luas, penyelewengan terang-terangan itu menjadi sangat memalukan dan tidak tertanggung. Malangnya, “insan baik” yang dinilai kita rupanya “tidak memakai apa-apa!” Tiada sesiapa tahu siapa yang cemerlang dengan membeli kertas peperiksaan bocor, dan siapa yang mendapatnya atas usaha sendiri. Seluruh sistem menjadi suatu jenaka.

Kini semua orang boleh dapat markah cemerlang

Lebih teruk, seperti apa yang dinyatakan kawan saya Abu di Facebook, kini semua orang boleh menjadi ‘insan yang baik’ – bukan sahaja golongan elit, tetapi juga daripada keluarga miskin, anak Orang Asli, anak tukang sapu, pengawal keselamatan dan penoreh getah.

Tak masuk akal! Jadi di manakah kesaksamaan dalam sebuah masyarakat yang berasaskan ‘semua boleh dibeli’, di mana hanya yang berkemampuan mampu mendapatnya. Meminda slogan popular syarikat penerbangan tambang murah kita, kini semua orang boleh cemerlang.

Adakah wayang sudah berakhir?

Sehingga Hari Malaysia tempoh hari, sejumlah tujuh individu ditahan berhubung kebocoran kertas peperiksaan UPSR, manakala Pengarah Lembaga Peperiksaan digantung. Ironinya, undang-undang sama yang digunakan untuk menutup rahsia gelap kerajaan kini dibangga-banggakan sebagai penyelesaian masalah; mereka yang membocorkan kertas soalan diancam dengan hukuman di bawah Akta Rahsia Rasmi. Namun, sekuat manakah kita sanggup menampar muka sendiri?

Fikirkan juga keadaan di mana jika mereka yang ditahan itu adalah yang menyiarkan soalan-soalan bocor itu di media sosial: Adakah ia seperti menangkap anak kecil yang menyatakan perihal sang maharaja yang berbogel?

Nampaknya, kepura-puraan, maaf, maksud saya wayang, masih berterusan. Ini kerana selagi kita semua tidak mencontohi anak kecil itu, yang secara naif berani menyatakan sandiwara yang kita saksikan saban hari, sebagai mangsa dan juga pihak yang bersubahat, “sang Maharaja akan terus berjalan dengan penuh bangga, ketika bangsawannya mengangkat dengan tinggi leretan ‘baju’nya yang sebenarnya tidak wujud.”

* Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam