Sastera

Pada gigitan pear pertama

-Aliff Fikri

Harapan, atau asa menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, adalah bentuk dasar dari kepercayaan kepada sesuatu yang diinginkan di masa hadapan. Harapan ini berbentuk abstrak, tidak nampak tapi diyakini akan terwujud dengan melakukan praktik seperti berdoa atau berusaha.

Beberapa pendapat menyatakan harapan adalah eskapisme – atau kata sopannya, terapi – dari proses sistematik dalam psikologi untuk menyangkal pemikiran negatif atau pesimis. Jadi, harapan, sebenarnya hanyalah khayalan. Mana mungkin khayalan kita jadikan sebagai teman karib dalam meniti liku-liku kehidupan.

Kau tahu bukan? Harapan adalah pengkhianat paling agung. Kerana melaluinya kita mengenal kesenangan, teruja, ketawa dan terbang melayang entah ke mana. Lalu kemudian sekelip mata tanpa persiapan atau tanda kita dipaksa jatuh, tersungkur menyembah bumi. Barangkali hidup ini terlampau tidak bermakna seperti minyak kelapa lama, busuk baunya.

Pada sebuah harapan, sering juga terselit hal-hal remeh. Misalnya untuk memilih antara kebab daging atau nasi beriani, bazar ramadan Kampung Baru atau Datuk Keramat, sokong Argentina atau Jerman, Lionel Messi atau Mesut Oezil, ruang luas atau kubikel.

“Hujan semalam adalah cara planet ini menulis puisi,” kata si lelaki.

Dia sendirian, duduk di bangku beranda sebuah kediaman di tengah ibu kota. Dia melihat ke bawah, ada sebuah taman, kelihatan sepasang kekasih sedang menyantap makanan di bulan Ramadan dan sebuah pokok lebat yang gugur daunnya boleh membangkitkan berahi.

Hujan semalam sedikit sebanyak telah membersihkan kotoran di taman. Kotoran dari sampah bungkusan nasi goreng, roti john, susu kotak dan bekas kondom di atas jongkang-jongkit.

Kita pasti terfikir dan tertanya-tanya siapa pula yang begitu gila melepas berahi berjongkang-jongkit di taman? Tapi watak kita, si lelaki ini tidak peduli semua itu. Apa yang dia pedulikan adalah bagaimana untuk keluar dari tempat dia sedang berada. Dia tidak senang hidup dalam keadaan terkunci dan sedang mencari jalan untuk membuka mangga kunci yang mengurungnya hampir setengah hari.

Lagipun, dia faham benar fungsi taman dalam seni bina, iaitu sebagai tempat melepas kekusutan, kelesuan dan kejenuhan mengulang rutin harian.

Beberapa tahun lalu, dia telah mengambil keputusan nekad untuk keluar dari kediaman wanita yang dia cintai. Cinta, kata yang tidak pernah jelas definisi dan maksudnya, sama ada sayang, suka atau obses. Tapi dari rona mukanya, dia memang sedang kecewa. Kecewa membuatkan dia dapat melihat negativiti di mana-mana.

“Sepatutnya Tuhan meletakkan label peringatan pada setiap wanita, ‘jangan pandang, dekat dan tegur jika takut dilamun mabuk asmara’,” katanya berdialog seorang diri.

Cerita ini akan terus berbicara dalam keadaan monolog, sedikit curahan hati penulis yang menggunakan karakter dalam tulisannya. Terpulang pada anda untuk menerima, geli atau apa pun, kerana itulah prosa. Kadang penulis jujur, kadang dia (saya, aku) berdalih sebagai proses kreatif, Tapi ini semua tidak penting. Ada hal yang lebih penting untuk dibicarakan.

“Seharusnya ada cara lebih mudah, ringkas dan singkat untuk jatuh cinta. Tanpa harus memendam perasaan,” kata lelaki itu, lantas mengesat hingus yang keluar dari hidungnya.

“Mengapa dalam cinta, tidak pernah ada katalog yang boleh dipesan melalui telefon. Selepas pesan, sampai, nikmati secara biasa, jika sudah tidak mahu, boleh buang ke tong sampah, tanpa beban, seperti sisa makanan,” keluhnya.

Jika adil, hidup akan jadi sangat membosankan. Ketidakadilan membuatkan manusia liat dan kuat. Manusia menakluk ketidakadilan dan membuat gagasan baru peradaban. Sekali lagi, ini semua tidak penting, yang penting sekarang adalah kita harus menunggu mengapa watak dalam tulisan ini duduk sendirian, dikunci dalam sebuah kediaman di tengah kota pada tengah hari yang begitu membosankan.

“Sex contains all, body souls, meaning, proofs, purities, delicacies, results, promulgations.

“Songs, commands, health, pride, the maternal mystery, the seminal milk, all hopes, benefactions, bestowals, all the passions, loves, beauties, delights of the earth.

“All the government, judges, gods, follow’d persons of the earth, these are contain’d in sex as parts of itself and justifications of itself,” kata penulis realisme, Walt Whitman dalam puisinya ‘A Woman Waits for Me’.

Sang lelaki bermonolog lagi.

“Tapi cinta tidak semudah seks, cinta itu rumit. Lebih rumit dari Paradoks Zeno atau segmen ‘Night and The Night’s Travelers’ dalam novel Asleep karya Banana Yoshimoto.”

“Dalam Paradoks Zeno, Achilles tewas dalam perlumbaan dengan seekor kura-kura. Asleep pula menceritakan percintaan dua orang sepupu Yoshihiro dan Mari. Kematian Yoshihiro selepas itu membuatkan Mari turut mati secara literal dan emosi. Dia tersempit dalam persimpangan sebuah kematian.”

“Punca semua ini adalah jarak. Jarak pembawa segala masalah.”

Dia memandang semula ke taman, kemudian ke jalanraya. Penjual murtabak, Nasi Kerabu, sedang bersiap-siap. Anak-anak kecil yang baru pulang mengaji kelihatan riang gembira dan seorang wanita muda berambut pendek, bermata liar, membawa sebuah buku turut kelihatan. Mereka semua melintasi beranda tempat watak lelaki sedang bermonolog, tanpa berkata apa-apa, seolah-olah dia tidak wujud.

Si lelaki tertarik pada wanita itu, dia tidak cantik. Jauh sekali untuk dibandingkan dengan Pevita Pearce dalam filem Tenggelamnya Kapal van der Wijck. Tapi wanita itu punya pesona lain.

Pesona asing seperti pertama kali membaca buku dan tidak dapat berhenti. Atau pertama kali mendengar lagu hingga kau ulangnya berulang kali. Wanita itu punya karisma seperti itu. Karisma untuk kau menyukainya tanpa alasan.

“Menjadi wanita dan perempuan itu susah, lebih susah dari menjadi watak lelaki dalam sebuah cerita. Jika penulisnya juga wanita, ia akan ditulis jadi maha hebat, maha kuat, maha angkuh dan sangat berdikari. Padahal bukan semua begitu, bukan semua seperti Maria Alyokhina (Pussy Riot) atau Margaret Thatcher.

“Tapi bila penulisnya lelaki. Wanita akan dijadikan nakal, liar dan penuh mengghairahkan. Padahal tidak juga demikian. Ya, lelaki, otaknya hanya penuh dengan seks dan bola sepak saja,” katanya, menyerang gendernya sendiri.

Angin panas tengah hari berhembus. Di sisi lelaki itu ada sebiji buah pear yang telah digigit sedikit sahur tadi. Buah pear berwarna hijau ranum yang isinya memutih kini mula menguning, tanda terlalu lama dibiarkan setelah gigitan pertama. Barangkali hidup juga seperti itu, seperti gigitan pear pertama. Kesempurnaan buah terus hilang setelah digigit, lalu kusut, busuk, menua dan dimakan usia.

“Kau cakap apa ni?” soalnya pada diri sendiri.

“Aku sedang jatuh cinta, kau tahukan?”

“Ya, aku tahu. Tapi kenapa sampai melalut dan bersedih-sedih?”

“Siapa cakap sedih. Aku melalut sebab gembira. Jatuh cinta dan terkoyak sampai tinggal sisa itu menyenangkan.”

“Teruk dah kau ni.”

“Jangan risau, lagipun ini kali pertama aku jatuh cinta secara keterlaluan.”

“Eh, bukan semalam kau cakap jatuh cinta dengan minah Kota Damansara ke? Kau ni, tak boleh tengok awek cantik sikit. Mudah sangat jatuh cinta, tak bosan ke tiap minggu jatuh cinta?”

“Tapi aku yakin ini yang terakhir.”

Lepas penat berbicara serius, dia menukar nadanya. Kini dia memikirkan tentang buah pear yang ada di sebelahnya, perlu atau tak perlu sisa buah pear yang menguning itu dihabiskan.

“Cara manusia bertahan hidup adalah perkara paling menarik,” katanya sambil memandang pear yang berada dalam genggaman tangan.

“Bagaimana kita memangsakan makhluk lain untuk bertahan hidup. Memangsa daya hidup makhluk lain yang lebih lemah, lalu mengubahnya menjadi tenaga dan terus berkembang biak.”

“Itulah cinta. Tentang bagaimana manusia mencari hubungan agar mendapat apa yang dinamakan sebagai kasih-sayang.”

“Kasih sayang itu ‘overrated’. Manusia buta sebab kasih-sayang. Hormon Endorphin atau kimia yang terhasil ketika bersama kekasih itu tak jauh beza dengan hormon ketika kau menang pertandingan catur.”

“Kau salah, cinta itu bukan sekadar hormon. Cinta adalah soal lain, soal memerlukan atau diperlukan.”

Monolog itu semakin meriah. Semua suara hati yang entah dari mana mahu bercerita, ambil bahagian, didengar dan berpendapat. Tentang kasih sayang, menjadi rasional dan berahi.

Kemudian datang dua orang wanita berpakaian putih membawa kerusi roda. Menuju ke arah lelaki itu, wajah mereka kelihatan penat, tanpa perasan dan tanpa emosi.

Seorang dari mereka membuka mangga kunci, lalu berkata:

“Encik Rosman, jom kita keluar. Doktor nak jumpa, lagipun sekarang kan dah masuk waktu makan ubat,” kata salah seorang dari wanita itu.

Pintu dibuka, zohor telah berlalu, lelaki itu yang terkurung sekian lama, akhirnya boleh keluar untuk ke tempat kurungan lain dan menjalani ‘kerja-kerja’ seperti kebiasaannya. -Roketkini.com