Berita

Samakan Pulau Pinang dengan Umno, DAP mohon wakil PAS semak fakta

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Mohd Hariszuan Jaharudin mengecam tuduhan perwakilan PAS yang mendakwa dasar pembangunan Kerajaan Negeri adalah sama seperti Umno.

Beliau berkata, serangan dari Perwakilan PAS negeri Iszuree Ibrahim yang juga seorang Ahli Majlis MPPP, dalam muktamar mereka di Batu Pahat semalam sama sekali tidak berasaskan fakta.

“Saya terkejut dan kesal dengan serangan Iszuree yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal menyelia dasar perumahan yang pro-rakyat dalam menangani masalah perumahan.

“Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Jumlah ini merupakan yang terbesar di negara ini. Kerajaan Negeri juga tidak menerima sebarang pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk perumahan awam atau mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Hariszuan yang juga Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera menyatakan, bagi mengawal spekulasi hartanah, Kerajaan Negeri telah melaksanakan kaedah baru yang mengenakan larangan jualan 5 tahun pada perumahan mampu milik dan 10 tahun untuk perumahan awam.

Malah, menurutnya, sejak tahun 2012, Kerajaan Negeri telah mengehadkan pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM1 juta dan ke atas untuk meredakan spekulasi hartanah supaya harga rumah kekal berpatutan bagi golongan berpendapatan sederhana.

“Sebagai langkah tambahan, Kerajaan Negeri mencadangkan levi sebanyak 3 peratus pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang oleh warga asing bermula 2014.

“Dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di kawasan pulau) hanya boleh dibeli orang yang diluluskan Kerajaan Negeri.

“Semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik turut dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos rendah dan sederhana rendah) dan 5 tahun (mampu milik), bagi memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku,” ujarnya.

Hariszuan menegaskan, jika Iszuree tidak memperbetulkan tuduhan tersebut, tidak mustahil beliau akan dianggap sebagai musuh dalam selimut.

“Iszuree dengan semberono memfitnah Kerajaan Negeri mengamalkan dasar pembangunan ala BN.

“Saya tiada masalah jika dia mahu mencari populariti, namun jangan sesekali mengkhianati persahabatan antara parti dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan tidak berkata benar,” tegasnya. – Roketkini.com