Berita

DAP Sabah saran Najib contohi Perdana Menteri UK

KOTA KINABALU, 21 SEPT: DAP Sabah menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi Perdana Menteri United Kingdom (UK) David Cameron tentang bagaimana berurusan dengan cara bertamadun seperti melalui referendum yang dilakukan di Scotland baru-baru ini.

Pengerusi DAP negeri Jimmy Wong Sze Phing berkata, Najib perlu mencontohi David Cameron yang menggunakan landasan demokrasi melalui referendum untuk mendengar suara rakyat, bukannya mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan.

“Saya percaya bukan semua rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka (keluar dari Malaysia) dan ia muncul akibat rasa tidak puas hati terhadap ketidakadilan serta pengagihan sumber hasil negeri yang tidak seimbang termasuk kekurangan pembangunan di sini.

“Malaysia boleh mengambil empat pengajaran daripada Referendum Scotland iaitu menurunkan kuasa, menggunakan referendum, menyusun semula sistem persekutuan dan mengendalikan perbezaan dengan cara lebih bertamadun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa polis akan membuka kertas siasatan terhadap individu yang dikatakan cuba menghasut rakyat untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai langkah pertama Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu memohon kerajaan menaiktaraf Dewan Undangan Negeri tersebut kepada Parlimen  Sabah dan Sarawak seperti mana dilakukan di UK.

“Perkara ini perlu dilakukan untuk memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak agar dapat membuat keputusan mengenai cukai, kebajikan, pendidikan dan kesihatan.

“Pakatan Rakyat menjunjung tinggi perkara ini dan ia terkandung dalam manifesto bahawa kedua-dua negeri akan diiktiraf sebagai rakan kongsi, sama seperti Persekutuan Malaysia dan berjanji pengagihan seimbang dilakukan jika memenangi Putrajaya,” ujarnya.

 Beliau turut mencabar Najib untuk berdebat mengenai Persekutuan Malaysia dan masa depan Sabah dan Sarawak pada sesi Parlimen akan datang.

Baru-baru ini, sesetengah kumpulan pro-BN menggesa supaya tindakan diambil terhadap beberapa individu dan kumpulan yang mencadangkan kajian semula Perjanjian Malaysia kerana didakwa berniat membawa keluar Sabah dan Sarawak.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memberi amaran kepada sesiapa saja yang membincangkan mengenai pemisahan dari Malaysia dan mengatakan ia bersifat hasutan. – Roketkini.com