Berita

Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa pro-rakyat – Ketua Menteri

(Gambar ihsan Buletin Mutiara)

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Dakwaan perwakilan muktamar PAS bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pro-rakyat dan hanya mengutamakan pemaju dalam menangani masalah perumahan di Pulau Mutiara itu adalah sama sekali tidak benar.

Ini berdasarkan rekod penjualan tanah kepada pihak pemaju sebelum tahun 2008 (zaman pemerintahan Barisan Nasional) yang menunjukkan angka 35 kali ganda lebih besar, berbanding pentadbiran Pakatan Rakyat yang menjual jumlah tanah kerajaan yang jauh lebih kecil.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu bahawa selepas tahun 2008, Kerajaan Negeri menjual 106.1 ekar tanah melalui tender terbuka secara kompetitif dan mendapat pulangan RM1,110.2 juta.

“Berbanding 3,661 ekar tanah sebelum 2008 dengan hasil hanya RM1,058.6 juta, jumlahnya rendah kerana dibuat secara tender tertutup ataupun rundingan terus,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Sri Pinang, semalam.

“Dalam erti kata lain, penjulan tanah sebelum tahun 2008 adalah 35 kali ganda lebih besar, namun hasilnya rendah dan langsung tidak mampu menyaingi apa yang diperoleh Kerajaan Negeri sekarang ini.”

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan, bagi mencapat matlamat demokrasi perumahan menjelang 2020, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta untuk tujuan pembangunan perumahan rumah awam dan mampu milik.

“Peruntukkan ini adalah untuk membina 22,575 unit rumah di kelima-lima daerah di Pulau Pinang dengan harga antara RM42,000 hingga RM400,000, melibatkan keluasan tanah sebanyak 17.5 ekar di Daerah Timur Laut, 5.8 ekar Daerah Barat Daya, 29.46 ekar Seberang Perai Utara, 29.6 ekar Seberang Perai Selatan.

“Dengan tambahan lebih 20,000 buah rumah awam dan mampu milik lagi daripada sektor swasta, jumlahnya mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai, sekaligus mencapai matlamat demokrasi perumahan,” tegasnya.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan semua rakyat dan sering memastikan segala kemahuan mereka berjaya diperoleh melalui tadbir urus yang baik.

“Macam mana baiknya sesebuah kerajaan adalah sebaik rakyatnya (a good government is only as good as its people), sebab itu suara mereka perlu didengar untuk membangunkan negeri.

“Kami juga sentiasa mementingkan untuk menggalak dan meningkatkan pembentukan modal insan serta pembinaan keupayaan melalui pendidikan dan latihan bagi menarik kembali bakat Pulau Pinang serta Malaysia dari luar negara.

“Prinsip ini tentunya akan menggalakkan inovasi penyelidikan, pembangunan, keusahawanan, menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan produktiviti,” ujarnya.

Jumaat lalu Perwakilan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim mendakwa Kerajaan Negeri sudah seperti BN apabila ia lebih mesra pemaju berbanding rakyat, ketika berucap di Muktamar PAS di Batu Pahat.

Hairannya, beliau juga merupakan seorang anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pihak berkuasa tempatan yang menyelia pembangunan di daerah pulau negeri tersebut. – Roketkini.com