Berita

Najib dicabar kecam ISIS di pentas PBB – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menggunakan peluangnya berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Jumaat ini untuk mengecam militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia berikutan perkembangan terbaru berhubung kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang turut terlibat dalam beberapa kes penculikan di Sabah telah mengisytiharkan sokongan kepada ISIS.

Dalam video yang disebarkan di Youtube, Ketua Abu Sayyaf Isnilon Hapilon diiringi dua anggota lain, menyatakan ‘bai’ah’ kepada ISIS dan Ketuanya Abu Bakar al-Baghdadi.

“Ditambah pula dengan sejumlah 40 rakyat Malaysia menyertai ISIS, inilah pentas yang paling sesuai untuk Najib menggariskan peranan Malaysia bagi melawan keganasan ISIS,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Najib perlu mencontohi Indonesia yang telah mengharamkan ISIS Ogos lalu bagi mengelakkan ideologinya tersebar di sana.

Tambah Kit Siang, sebagai pemimpin sebuah negara berbilang agama dengan Islam sebagai agama rasmi, Najib perlu secara jelas bersuara mengutuk kekejaman ISIS, yang merupakan satu penghinaan kepada Islam sebagai ‘agama keamanan’.

Peranan Gerakan Kesederhanaan Global

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kekejaman ISIS seperti pembunuhan awam, pencabulan seksual, penculikan dan memenggal kepala tebusan ternyata bertentangan dengan idea ‘Wasatiyah’ serta Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Najib.

“Malah, GMM perlu berada di barisan hadapan dalam kempen antarabangsa melawan pengganas ISIS. Najib sendiri seringkali menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengembalikan agenda keamanan dan pragmatisme, serta meminggirkan ekstremisme.

“Atau Najib sudah berputus asa dengan pegangannya itu?” soalnya lagi.

Katanya lagi, ia juga dapat menebus kesilapan Najib sebelum ini, yang memuji ‘keberanian’ ISIS, malah meminta ahli Umno mencontohinya.

Kenyataan Najib pada 23 Jun lalu itu mendapat kritikan pelbagai pihak, dan diburukkan apabila Najib mengambil masa selama dua bulan untuk menjelaskan secara peribadi kenyataan itu. – Roketkini.com