Rencana

Pakatan Rakyat: Dibunuh tak mati-mati

 

Oleh: Yeo Bee Yin

Ada kerjasama erat serta keinginan berat di peringkat akar umbi supaya Pakatan Rakyat berkekalan jodohnya. Ramai yang mahu PAS terutamanya kekal dalam Pakatan, tidak kira lah apa pun perkelahian di peringkat pucuk pimpinan. Terlalu banyak kisah setiakawan di kalangan anggota parti yang melangkaui batas kaum, agama dan budaya.

Kisah-kisah ini memberikan harapan untuk melihat kerangka yang lebih besar di saat berdepan krisis yang menguji persaudaraan. Kisah yang ini dikongsikan oleh Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Saya ingin memberi penghormatan kepada dua rakan Pakatan Rakyat yang berani membuat keputusan untuk hadir ke sidang media bagi menyatakan sokongan terbuka menolak Khalid Ibrahim. Tindakan mereka itu telah menyebabkan Pakatan Rakyat kekal tidak berpecah di tengah-tengah kemelut Menteri Besar Selangor.

Saya adalah antara 30 orang Adun yang menandatangani kenyataan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Namun sehingga saat pagi sebelum sidang media tersebut, saya begitu risau kita tidak cukup bilangan bagi membuktikan bahawa kita memiliki majoriti.

DAP mempunyai 15 Adun, manakala PKR 13, kami cuma ada 28 orang. PAS pula belum membuat keputusan. Saya dengar khabar dua orang Adun dari PAS akan hadir, tetapi saya tidak betul-betul pasti bahawa mereka benar-benar akan datang.

Tahukah apa akibat engkar kepada parti? Kerjaya politik dalam parti mungkin berakhir (hampir pasti anda tidak akan dicalonkan bagi penggal seterusnya) atau sekurang-kurangnya dihantar ke jawatankuasa disiplin parti.

Kemudian saya lihat YB Hasnul tiba. Beliau tersenyum, namun saya dapat melihat dari riak wajahnya bahawa beliau memang gemuruh. Seperti seorang anak kecil yang baru melanggar peraturan. Beliau kelihatan berlegar-legar dan cuba untuk kelihatan tenang.

Waktu terus berlalu, dan saya terus menantikan seorang lagi Adun PAS untuk tiba.

Saya dengar bahwa YB Saari akan hadir. Beliau sememangnya telah menjadi contoh bagi saya sejak saya mengenalinya. Beliau Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Syarikat Terkait Kerajaan, yang mana saya menjadi anggotanya. Seorang bekas tahanan ISA dan juga seorang penulis, beliau seorang yang lemah lembut, tenang dan berilmu, tegas dan berprinsip. Saya sentiasa memandang tinggi beliau dan cuba belajar darinya. Tetapi adakah beliau akan memperjudikan kerjaya politiknya dan hadir sama? Itu saya tidak begitu pasti.

Kemudian saya nampak YB Saari tiba. Seperti biasa, beliau membawa beg sandang dan berjalan perlahan dan tenang sekali. Isterinya tetap di sisi dan berkata kepada saya bahawa perasaannya sama seperti yang dirasai ketika YB Saari hendak ditahan di bawah ISA dulu.

Demikian hebatnya tekanan yang timbul daripada tindakan sedemikian bagi keluarga. Saya begitu tersentuh, air mata mula bergenang tetapi saya seka dengan cepat. Saya berasa malu untuk terlalu beremosi dalam keadaan sekarang.

Di tengah demikian banyak kekecewaan, saya melihat rakan-rakan seperjuangan yang begitu berani untuk menyatakan pendirian demi mengekalkan Pakatan Rakyat supaya tidak berpecah, dan untuk menyatakan pendirian demi mengekalkan demokrasi dua parti di Malaysia.

Apa sahaja keputusan PAS, kita pasti akan hadapinya. Perjalanan masih jauh dan kita baru berada di garis mula. Namun saya tetap akan mengingati hari tersebut, ketika dua lelaki membuat keputusan yang begitu payah dan memberi inspirasi bagi saya melangkah lebih jauh.

Terima kasih YB Hasnul dan YB Saari. Saya akan ceritakan kisah keberanian kalian kepada anak cucu saya nanti. – Roketkini.com

Pertama kali disiarkan dalam akhbar The Rocket (BM) edisi September 2014.