Berita

DAP kecam sikap lepas tangan Bukit Aman tangani perdagangan seks

PETALING JAYA, 23 SEPT: DAP kesal dengan sikap lepas tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam menangani kes perdagangan seks di Malaysia.

Adun DAP Damansara Utama Yeo Bee Yin berkata, sikap ‘tidak apa’ terhadap pasaran pekerja seks bernilai RM3 bilion tersebut termasuk mengangap ia sebagai bukan ‘industri’ tetapi hanya ‘aktiviti’ tidak boleh diterima sama sekali.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat SAC Datuk Roslee Chik dalam portal The Star Online, 23 September lalu menyifatkan pendedahan video ‘Trapped – The Underage Sex Industry in Malaysia’ hanyalah ‘aktiviti’ dan bukannya ‘industri’ kerana ia ‘tidak begitu besar’.

Sedangkan Havescope, pertubuhan antarabangsa yang mengumpul maklumat tentang pasaran gelap dunia menganggarkan saiz nilai pasaran gelap pekerja seks di Malaysia bernilai sehingga USD 963 juta.

“Adakah pasaran gelap seks bernilai RM3 bilion tidak cukup besar untuk dipertimbangkan sebagai sebuah industri bagi Bukit Aman?

“Kumpulan pekerja seks juga tergolong dalam salah satu daripada empat kumpulan terbesar jangkitan HIV oleh Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia manakala 74 peratus daripada jangkitan HIV baru disebabkan pemindahan secara seksual berdasarkan data 2013.

“Jadi, masalah perdagangan seks haram pastilah bukan ‘tidak begitu besar’ sebagaimana yang disifatkan Roslee. Sikap ‘tidak apa’ terhadap masalah kompleks ini tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyelar kenyataan terbabit, Bee Yin menyatakan, Bukit Aman sepatutnya memandang serius untuk mengatasi perdagangan seks haram di Malaysia terutama melibatkan pekerja bawah umur.

“Daripada menafi atau memperkecilkannya, kita mesti mengetahui ramai kanak-kanak (tempatan atau asing) diculik, ditipu atau diperdagangkan untuk diniagakan tubuh mereka.

“Adalah lebih untuk mencari jalan penyelesaian sama ada melalui undang-undang dan penguatkuasaan daripada menolaknya ketepi termasuk mencari kesalahan dan menafikannya,” tegas beliau. – Roketkini.com