Berita

DAP Sarawak: Negeri hilang hasil RM400 juta dalam urusniaga tanah

KUCHING, 23 SEPT: Urusniaga tanah seluas 267 ekar di Batu Kawa, Kuching menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil berjumlah kira-kira RM400 juta, kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Chong dalam satu kenyataan berkata, serahmilik itu ditandatangani kerajaan negeri dengan syarikat swasta pada Mac 2014 melibatkan tanah seluas 267.15 ekar dekat Jalan Batu Kawa, Kuching di Lot 18, 5489, 5490, 5491, 2301, 2304 dan 5279.

Katanya, premium tanah yang dibayar syarikat tersebut hanya RM115 juta iaitu RM430,469.77 seekar, sedangkan nilai pasaran tanah di kawasan itu kira-kira RM2 juta seekar.

Kata Chong urusniaga jualan tanah seluas 267 ekar itu memberi ‘keuntungan besar’ kepada beberapa pemimpin politik dan syarikat kroni BN, kerana nilaiannya dianggarkan pada kadar RM534 juta, menyebabkan kerajaan Sarawak kerugian kira-kira RM400 juta.

Chong bagaimanapun tidak menamakan pihak yang dikatakan sebagai kroni BN yang mendapat manfaat dari urusniaga tersebut.

“Memandangkan betapa serius perkara itu, hari ini (semalam) saya menulis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan pengesahan mengenai perjanjian itu sama ada kerajaan menyerah tanah kepada syarikat swasta dengan hanya 21 peratus daripada harga pasaran.

“Khabar angin bertiup di pasaran hartanah bahawa terdapat broker dan ejen hartanah yang sedang mencari pembeli berpotensi bagi tanah tersebut.

“Perkara ini seolah-olah menjadi amalan kerajaan negeri untuk menyalurkan kekayaan kepada beberapa individu terpilih, atau lebih dikenali sebagai kroni,” ujar Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa memberi 10 hari kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menjelaskan perjanjian tersebut.

Tambah Chong beberapa tahun sebelum ini, tanah premium seluas 269 ekar di BDC, Kuching yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran kira-kira RM400 juta dijual kepada sebuah syarikat kroni pada harga RM80 juta, 20 peratus daripada nilai pasaran.

“Sedangkan dengan wang sebanyak ini lebih baik digunakan untuk membina beribu-ribu rumah kos rendah, prasarana awam dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya. – Roketkini.com.