Berita

DAP Selangor sokong penuh Azmin sebagai MB

PETALING JAYA, 23 SEPT – DAP Selangor menyokong penuh pelantikan YB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru serta berikrar memberikan segala peluang untuk membuktikan dirinya sebagai Menteri Besar terbaik Selangor.

Demikian kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam kenyataan pagi ini selepas Mohamed Azmin selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Alam Shah, Klang.

“DAP Selangor mengalu-alukan pelantikan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, dan mengakhiri krisis politik berpanjangan yang tidak diperlukan serta meresahkan di negeri ini,” ujar Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Menurutnya adalah penting bagi krisis politik tersebut diselesaikan segera supaya khidmat bakti kepada rakyat Selangor dapat diteruskan seperti sedia kala.

“Oleh itu, DAP Selangor dan Adunnya akan memberikan sokongan penuh kepada Menteri Besar baru bagi memastiklan kita menggunakan peluang secara maksima dalam jangka masa tiga tahun akan datang demi membuktikan kepada rakyat kenapa krisis dan kesabaran mereka itu berbaloi,” ujarnya lagi.

Semalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya menyokong keputusan Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail untuk menarik diri, berikutan titah DYMM Sultan Selangor melantik Azmin sebagai Menteri Besar yang baru, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pelantikan Azmin diharapkan akan memberi nafas baru untuk membetulkan kegagalan pentadbiran sebelum ini serta mencapai kecemerlangan yang lebih baik untuk Pakatan Rakyat.

“DAP Selangor mengharapkan pentadbiran yang dipimpin Azmin dan barisan Exco baru yang lebih konsultatif, inklusif dan mendahulukan rakyat demi menepati janji Pakatan Rakyat kepada orang ramai.

“Kami percaya, dengan bekerjasama sebagai satu pasukan, Azmin Ali akan dapat membawa Selangor ke tahap yang lebih baik, dan menjadikannya negeri yang terbaik di negara ini,” tambah Tony.

“Pastinya Azmin Ali akan dicatat sejarah sebagai Menteri Besar terbaik Selangor,” katanya lagi sambil mensyaratkan bahawa itu hanya mampu dicapai dengan rakam jejak yang terbukti cemerlang demi memastikan rakyat mengekalkan mandatnya kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang. – Roketkini.com